Hasan Ali dipecat sebagai anggota PAS serta-merta

0

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dipecat sebagai anggota PAS berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web organ parti itu, HarakahDaily semalam, berkata keputusan memecat Dr Hasan dibuat pada mesyuarat PAS Pusat di Kuala Lumpur semalam berdasarkan Fasal 82(9).

Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan-tindakan Dr Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh Anggota-anggota Jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat itu.

Dr Hasan sebelum ini mengkritik konsep negara berkebajikan yang dipilih oleh kepimpinan PAS yang didakwa telah lari daripada konsep perjuangan asal.

Beliau juga telah mempersoalkan tindakan PAS Selangor mengarahkan anggota-anggota PAS menyertai perhimpunan untuk membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat yang dihadapinya hari ini tetapi tidak membenarkan anggota-anggota PAS untuk menyertai perhimpunan antimurtad tahun lepas.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi untuk mengesahkan pemecatan itu meminta Bernama merujuk kepada kenyataan yang disiarkan di HarakahDaily.

“Sila refer kepada HarakahDaily, itu adalah statement (PAS),” katanya.

Dr Hasan masih gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksi beliau.

Naib Ketua Pemuda PAS Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong dan mematuhi keputusan PAS Pusat memecat Dr Hasan berikutan tindak-tanduknya bertentangan dengan keputusan PAS.

“Kami yakin keputusan tersebut amat tepat dan berharap semua pihak menghormati keputusan itu. Kami yakin Dr Hasan akan menerima keputusan tersebut dengan dada terbuka dan beliau masih berhak membuat rayuan kepada Majlis Syura PAS.

“Kami yakin kemelut yang telah mengeruhkan keadaan ini di Selangor dan negara akan ditutup setelah keputusan tersebut dicapai,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Dr Raja Ahmad berkata, dewan itu berharap kedudukan Dr Hasan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor digantikan segera.

Dewan itu secara terbuka turut mencadangkan Pesuruhjaya PAS Selangor kini, Dr Abd Rani Osman diberikan laluan menggantikan Dr Hasan kelak. — Bernama