Thursday, December 8

St John Ambulance Sarawak iktiraf pengorbanan Herman Sihas

0

KUCHING: St John Ambulance Sarawak menyampaikan anugerah penghargaan kepada Allahyarham Herman Sihas@Mohd Sulaiman Abdullah atas keagungan sifatnya yang cuba menyelamatkan Kho Ying Qi, 19, daripada lemas pada 5 Januari lepas.

Kho masih hilang selepas terjatuh ke dalam parit besar ketika banjir kilat melanda bandar raya ini pada hari kejadian.

Herman bagaimanapun turut lemas dan mayatnya ditemui Sabtu lepas oleh pasukan mencari dan menyelamat dan telah selamat dikebumikan.

Pengerusi merangkap Komander St John Ambulance Sarawak Dato Sri Ang Lai Soon berkata, Herman dianugerahkan dengan Sijil Merit Kelas Pertama St John Ambulance Sarawak.

“Allahyarham yang tidak pandai berenang tetapi kerana keagungan sifat dan murah hatinya beliau sanggup membantu mangsa tanpa menyedari bahaya menanti dirinya, sememangnya layak menerima penghormatan tertinggi ini,” kata-nya dalam kenyataan akhbarnya semalam.

Selain itu organisasi kemanusiaan itu juga menganugerahkan Sijil Merit Kelas Kedua kepada Talip Awi atas usahanya cuba menyelamat Kho dalam kejadian malang menimpa pelajar Tingkatan Enam Atas itu.

Sementara itu ketika berita ini di-tulis Kho yang dikhuatiri lemas masih gagal ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari keenam semalam.