SPNB baik pulih 75 peratus projek rumah terbengkalai

0

Projek Taman Desa Guru akhirnya siap selepas 15 tahun

LEGA SUDAH: Abang Johari (empat kanan) menyerahkan replika kunci rumah sebagai simbolik penyerahan kunci kepada pemilik rumah di Taman Desa Guru yang disaksikan Idris (tiga kiri), semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Dr Rahman, Hasidah dan Fadillah dan Abdul Karim (kiri). — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya menyempurnakan kira-kira 75 peratus baik pulih rumah daripada 83 projek rumah terbengkalai di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Wira Idris Haron berkata, 83 projek rumah terbengkalai itu merupakan projek yang diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 20 Mac 2009.

“Jadi sehingga tarikh itu (Mac 2009) kita menerima hanya 83 projek, semuanya dalam usaha disempurnakan dan 75 peratus telah kita sempurnakan termasuk Taman Desa Guru ini.

“Bagaimanapun selepas Mac 2009, kita tidak lagi menerima mana-mana projek terbengkalai daripada KPKT kerana mereka mempunyai agensi lain, yang melaksanakan projek terbengkalai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Projek Pemulihan Perumahan Terbengkalai Taman Desa Guru yang disempurnakan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di Samariang, semalam.

Menurut beliau, di Sarawak SPNB hanya mengendalikan dua projek rumah terbengkalai iaitu di Taman Desa Guru dan di Bintulu Port, di mana SPNB bertindak sebagai ejen pelaksana baik pulih.

Berhubung Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan belanjawan tahun lalu, Idris berkata Sarawak mungkin menerima antara 1,000 dan 1,500 unit untuk dibangunkan.

“Kita akan ikut konstituensi Parlimen dan di Sarawak terdapat 31 Parlimen maka dengan itu unit yang dibina di negeri ini dalam lingkungan hingga 1,500,” katanya.

Bagi Taman Desa Guru itu, SPNB telah mengambil alih projek seluas 14 ekar itu dan memulakan kerja-kerja membaik pulih pada Jun 2009 setelah pemaju asal iaitu Koperasi Perumahan Perkhidmatan Pelajaran Bumiputera Sarawak Berhad gagal menyiapkan projek.

Kerja-kerja baik pulih telah disiapkan SPNB pada November 2010 dan Permit Menduduki (OP) diterima daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) secara berperingkat dari Julai hingga November 2011.

Sementara itu, Abang Johari pada sidang media itu berkata, kos pemulihan kerja membaik pulih rumah yang sepatutnya siap 15 tahun lalu itu ditanggung oleh SPNB menerusi Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, pemilik hanya perlu membayar harga asal rumah itu yang berada dalam lingkungan RM130,000 hingga RM180,000.

“Kini harga rumah ini dengan tanahnya sekali mencapai RM400,000 ke atas dan sekurang-kurangnya RM300,000 bagi rumah berkembar.

“Bagaimanapun, atas keprihatinan kerajaan kepada mereka yang sepatutnya menerima rumah itu 15 tahun dahulu, mereka hanya perlu membayar harga asalnya,” katanya sambil menambah, selain Taman Desa Guru, SPNB antara lain turut membaik pulih projek terbengkalai di Bintulu Port yang dianggarkan dalam 200 unit.

Di Taman Desa Guru itu, daripada 53 unit keseluruhan yang dibangunkan, sebanyak 43 unit yang dipulihkan SPNB merangkumi tujuh unit rumah banglo setingkat jenis Baiduri, 20 unit rumah berkembar setingkat jenis Mutiara, lima unit banglo setingkat jenis Nilam dan 11 unit banglo setingkat jenis Delima dengan jumlah kos baik pulih melebihi RM16 juta.

Hadir sama Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.