Jangan ulangi kesilapan

0

GIGIH: Jurulatih Sarawak, Robert Alberts sedang memantau anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya petang semalam. Sarawak akan menentang Terengganu malam ini.

Sarawak berdepan cabaran lebih getir nanti kunjungan Terengganu

KUCHING: Kekalahan tipis 1-2 di pangkuan Sabah pada Sabtu lalu ternyata tidak melunturkan semangat Sarawak untuk bangkit mencipta kemenangan menentang Terengganu pada saingan Liga Super 2012 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini malam ini (Selasa).

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts yakin anak-anak buahnya mampu melakar kemenangan meskipun menyedari skuad Penyu bukan calang-calangnya pasukan.

Alberts bagaimanapun bimbang persiapan pasukannya untuk perlawanan malam ini dibayangi ketiadaan dua tonggak iaitu Mohd Dzulazlan Ibrahim dan Mohd Shahrol Saperi yang masing-masing dilanda kecederaan dan digantung perlawanan.

“Dzulazlan mengalami kecederaan manakala Mohd Shahrol digantung perlawanan setelah menerima kad merah ketika menentang Sabah Sabtu lalu,” katanya.

Walau bagaimanapun, kata Alberts, beliau kemungkinan akan menurunkan K. Ravindran yang menjaringkan gol tunggal Sarawak di Sabah, dalam kesebelasan utama pasukannya malam ini sementara pemain import baru Sarawak, Kalle Sone dari Cameroon masih belum dapat diturunkan kerana cedera.

“Perlawanan kita malam esok akan menjadi petunjuk baik di mana kedudukan kita. Terengganu merupakan pasukan yang cukup bagus, jadi kita harus memberikan yang terbaik,” ujar Alberts ketika sesi latihan pasukan di sini petang semalam.

Jurulatih dari Belanda itu turut berharap anak-anak buahnya tidak akan mengulangi kesilapan dalam kekalahan di Sabah tempoh hari.

“Kita tidak mampu bermain seperti mana ketika menentang Sabah di mana kita tidak cukup agresif dan mantap. Jika kita masih bermain seperti itu juga ketika menentang Terengganu, maka lupakan sahaja hasrat untuk memburu kemenangan,” katanya.

Alberts amat menyedari kekuatan yang ada pada Terengganu yang ternyata memiliki ramai pemain yang berkebolehan termasuk bekas tonggak Sarawak sendiri, Joseph Kalang Tie yang sudah tiga musim bersama Terengganu.

“Pemain-pemain kita tidak harus rendah diri apabila berdepan pasukan segagah Terengganu. Saya percaya mereka mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukan lawan,” ujarnya.

Apa yang pasti, skuad Terengganu yang dibimbing Mat Zan Mat Aris pastinya bersemangat memburu kemenangan setelah menang bergaya membenam Felda United 3-0 di laman sendiri, Sabtu lalu.

Sarawak pula seharusnya lebih berwaspada pada malam ini kerana dua pemain import mereka dijangka akan bermain buat kali pertama malam ini setelah Terengganu ketiadaan pemain import sepanjang dua perlawanan pembukaan lalu.

Semalam Bernama melaporkan bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menerbangkan Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil ke Kuching hari ini jika kedua-dua mereka lulus ujian kesihatan lewat.