Jangan dengar khabar angin mengenai pengagihan wang BR1M

0

MIRI: Rakyat harus bersikap sabar dan tidak mendengar khabar angin liar mengenai pengagihan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, pemohon yang layak akan tetap menerima bantuan tersebut walaupun ia mungkin akan memakan sedikit masa.

“Jangan terlalu dengar tuduhan liar sesetengah pihak bahawa wang BR1M diagihkan dengan cara yang tidak wajar atau berat sebelah,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di pejabat beliau semalam.

Pengagihan dan pemberian wang berkenaan juga kata beliau akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Beliau memberitahu bahawa setakat ini bagi kawasan Parlimen beliau, sebanyak 3,827 permohonan telah diluluskan untuk fasa pertama iaitu masing-masing 2,827 di kawasan Bekenu dan selebihnya di Lambir.

“Saya turut dimaklumkan bahawa sesiapa yang belum dapat (bantuan) pada fasa pertama nanti, pihak Pejabat Residen Miri akan menghubungi sendiri pemohon yang layak pada fasa kedua,” ujarnya.

Mengenai tarikh cadangan pengagihan BR1M pula, 25 Januari ini dijangka untuk penerima di Batu Niah, 26 Januari di Sepupok, 27 Januari di Bekenu dan 28 Januari pula di Lambir.

Bagi fasa kedua pula katanya, kemungkinan ia akan diberikan selepas perayaan Tahun Baharu Cina iaitu pada bulan Februari atau Mac.

Ahmad Lai turut menasihati semua penerima yang layak menerima BR1M agarmenggunakan wang berkenaan sebaik mungkin.

“Belanjakanlah dengan bijak seperti untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak dan sebagainya, pastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya,” jelas beliau.