Tuesday, November 30

Pemain Bumiputera diseru serlah bakat dalam snuker

0

KUCHING: Kejohanan Snuker Bumiputera yang dijadualkan berlangsung di Kuching Pool Club, Stampin di sini pada 23 hingga 27 Januari ini mendapat suntikan semangat daripada Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah.

Kelmarin, Abdul Karim tampil menghulurkan sumbangan bagi menyuntik semangat pemain-pemain Bumiputera yang bakal bersaing pada kejohanan itu nanti.

Presiden Persatuan Sukan Snuker dan Billiards Sarawak (SASA), Lee Juk Chiang berkata sumbangan yang dihulurkan oleh menteri muda itu sudah pastinya mampu menarik lebih ramai golongan Bumiputera menyertai kejohanan terbabit.

“Kita yakin dengan sokongan ADUN Asajaya itu, kejohanan snuker Bumiputera itu nanti akan lebih meriah dan berprestij,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan di sini Isnin lalu.

Menurut Lee, memang diakui golongan Bumiputera mempunyai potensi besar dalam sukan snuker malah mereka mampu beraksi dengan lebih baik.

“Ini gelanggang dan peluang pemain-pemain Bumiputera menunjukkan bakat dan keterserlahan mereka dalam sukan snuker sekali gus dapat diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Lee menarik perhatian berdasarkan pengalaman SASA sebelum ini, penyertaan Bumiputera dalam saingan kejohanan itu masih kurang memberangsangkan.

Justeru, diharapkan kejohanan bagi golongan Bumiputera itu dapat menarik lebih ramai penyertaan.

“Kita harap kejohanan itu dapat mencapai matlamat bagi menonjolkan bakat-bakat pemain-pemain snuker Bumiputera berkaliber,” katanya.

Mereka yang berminat menyertai kejohanan ini boleh menghubungi terus Lee atau pengurus kejohanan, Abdul Taib Rosli dengan bayaran penyertaan RM35 sahaja.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi 016-866 9333 dan 013-565 2012.