Atlet taekwondo Sarawak raih pengalaman baik di Indonesia

0

KUCHING: Atlet Sukma taekwondo Sarawak melakukan permulaan yang baik untuk persediaan Sukma ke-15 selepas membuktikan keupayaan dengan membawa pulang dua emas, dua perak dan empat gangsa pada Kejohanan Terbuka Kejuaraan Taekwondo Indosat, Pontianak, Indonesia pada 13 hingga 15 Januari lepas.

Rida Ayuda Rambli dan Annie Kung Ling Ting masing-masing menghadiahkan emas untuk negeri menerusi kategori Putri bawan 46kg dan Putri bawah 53kg.

Sementara, pingat perak dipungut oleh Mohd Shazerick Zulariffin menerusi kategori Putra bawah 63kg dan Tan Cheng Qiang bagi kategori Putra bawah 74kg.

Pemenang pingat gangsa ialah Tey Yen Khai (Putra bawah 74kg), Dayang Farhanah (Putri bawah 53kg), Marlisa Tee Zulariffin (Putri bawah 62kg) dan Shirley Kua Xiao Zie (Putri bawah 62kg).

Ketua kontinjen Tan Check Joon berkata, beliau gembira terhadap pencapaian yang ditunjukkan oleh para atlet terutamanya wanita yang begitu memberangsangkan dengan memberikan tentangan sengit menerusi kategori masing-masing.

“Ini adalah pendedahan yang baik untuk para atlet kita meningkatkan prestasi bagi menghadapi Sukma di Kuantan, Pahang pada Jun ini,” katanya.

Menurut Tan, buat masa ini, keutamaan adalah pada pendedahan para atlet dan bukannya keputusan bagi memastikan setiap atlet bersedia dan mengatasi kelemahan masing-masing.

“Apa yang penting, jurulatih mengenalp asti kekuatan dan kelemahan setiap atlet dan mencari jalan untuk mengatasi dan memperbaiki kelemahan serta kekuatan mereka,” katanya.

“Jurulatih kami telah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan atlet individu dan mereka akan mencari jalan terbaik untuk mengatasi kelemahan dan memperbaiki kekuatan,” kata Tan.

Pasukan taekwondo negeri akan meneruskan perjalanan pendedahan ke Kuala Lumpur pada Mac depan dan ke Korea Selatan pada Mei.