Kerajaan negeri terus hargai sumbangan kaum Cina

0

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa membela mana-mana kaum di Sabah termasuk kaum Cina tanpa pengabaian dan terus komited dalam perpaduan yang utuh antara sesama rakyat.

2. MUSA (tengah), Pairin (kiri), Yee (dua kanan) dan Pang (kanan) bersama-sama barisan pemimpin lain memalu gendang 24 musim sebagai simbolik perasmian majlis itu.

Sokongan tidak berbelah bagi dalam usaha mempromosikan keharmonian sosial, toleransi serta muhibah turut menjadi salah satu faktor kerajaan mampu melaksana pelbagai program pengukuhan di kalangan masyarakat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata pihaknya senantiasa memberi sokongan demikian dengan kerajaan amat menghargai sumbangan kaum Cina dalam pembinaan negara khususnya pembangunan ekonomi.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus memberi sokongan kepada komuniti Cina melalui pelbagai pendekatan seperti meneruskan bantuan kepada sekolah Cina dan juga rumah ibadat kaum itu.

“KIta juga amat menyokong aktiviti yang dilaksanakan pertubuhan dan dewan perniagaan Cina dengan menyalurkan bantuan berdasarkan kemampuan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2012 di Lintasan Deasoka, malam Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Yee Moh Chai; Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Peter Pang En Yin dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir.

Mengulas lanjut, Musa berkata kerajaan akan terus memastikan kebajikan masyarakat Cina di negeri ini terjamin dengan kemampuan peruntukan RM30 juta bagi bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Cina dan pembinaan rumah beribadat sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, jika dahulu peruntukan terbabit tidak ‘se gah’ mana dengan hanya satu atau dua juta ringgit disalurkan namun sejak beberapa kebelakangan ini, kerajaan telah mampu memberi bantuan RM30 juta bagi tujuan itu.

“Kerajaan juga membantu aktiviti persatuan dan dewan perniagaan Cina dan akan menyalur bantuan setakat yang mampu.

“Kerajaan negeri telah menyediakan belanjawan sebanyak RM4 bilion tahun ini, untuk membawa lebih banyak pembangunan sosioekonomi.

“Seperti yang kita tahu, sebelum ini kerajaan negeri hanya mampu memperuntukkan satu hingga dua juta ringgit, tetapi sejak beberapa tahun lalu kita mampu memberi kira-kira RM30 juta untuk tujuan itu,” katanya.

Katanya, selain itu pelbagai lagi bantuan melibatkan masyarakat Cina turut dilaksanakan bagi menjaga kebajikan kaum berkenaan.

Merujuk kepada penganjuran karnival berkenaan, Musa berharap ia akan terus menjadi platform bagi merapatkan lagi semangat perpaduan di kalangan rakyat Sabah yang menjadi intipati penting kepada kesejahteraan hidup bermasyarakat.

“Kita harus bersyukur kerana dapat hidup dalam suasana aman, damai, makmur dan sejahtera sesama kita.

“Jadi adalah penting bagi kita untuk menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni agar keamanan dan kedamaian di negeri ini terus terpelihara,” katanya.