Site Last Updated 1:36 am, Saturday

Sarawak tetap puas hati

by Nick Fletcher. Posted on January 19, 2012, Thursday

Robert saksikan keupayaan positif skuadnya biarpun kalah tipis

TINGKATKAN PRESTASI: Penyerang muda ‘Ngap Sayot 2012’ K. Ravindran melakukan rembatan dari dalam petak penalti sambil cuba dihalang oleh Mazuki, pemain Terengganu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam kelmarin. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak Sarawak, Robert Alberts tetap berpuas hati dengan prestasi permainan anak-anak buahnya meskipun gagal mengutip mata di laman sendiri untuk terus mara dalam kancah Liga Super.

Menurut jurulatih dari Belanda itu, kekalahan tipis selain menghasilkan peluang-peluang gol yang mencemaskan pasukan lawan, menunjukkan keupayaan positif anak-anak buahnya kerana Terengganu merupakan pasukan pilihan yang mampu merangkul kejuaraan.

“Kita bermain dengan baik… jika kita bermain begini menentang Terengganu maka ia bukanlah teruk sangat,” katanya apabila diminta mengulas pertembungan antara Sarawak dan Terengganu di Stadium Negeri, Petra Jaya dekat sini, malam kelmarin.

Skuad ‘Ngap Sayot 2012’ bagaimanapun diaibkan di laman sendiri apabila pemain import Terengganu, Francis Forkey dari Liberia yang juga melakukan penampilan sulungnya bersama skuad Penyu menjaringkan gol tunggal pada minit ke-36.

Ketinggalan gol tersebut tidak mematahkan semangat anak-anak buah Robert untuk cuba bangkit di hadapan lebih 10,000 penyokong namun beberapa percubaan di hadapan pintu gol berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee.

“Kita juga menghasilkan banyak peluang keemasan tetapi tidak disempurnakan dengan baik.

“Tetapi, dengan memberikan tentangan kepada pasukan bagus seperti Terengganu menunjukkan kita telah mempamerkan permainan yang baik,” kata Robert.

Meletakkan sasaran berada dalam kelompok pertengahan liga dan kekal dalam liga elit musim depan, Robert yakin skuad negeri yang dibarisi kebanyakan pemain muda akan menjadi sebuah pasukan pilihan pada masa akan datang.

“Misalnya, dari perlawanan malam ini, pemain-pemain banyak melakukan kesilapan terutamanya di hadapan pintu gol.

“Buat masa ini, saya menerima kesilapan yang dilakukan oleh pemain muda tetapi tidak kepada pemain berpengalaman,” kata Robert mengulas masa depan pasukannya yang kini turut dilema masalah kecederaan penyerang sandaran, Kalle Sone dari Cameroon yang dijangka terlepas banyak perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris memuji percaturan permainan skuad negeri yang disifatkannya mampu membuat ancaman dan kejutan gol.

“Kita telah menewaskan Felda United di tempat lawan dan bermain dengan baik tetapi di Sarawak kita melalui perlawanan yang sukar.

“Sarawak memang pasukan bagus dan kita juga telah menjangkakan mendapat tentangan,” katanya yang ditemui selepas selesai perlawanan.

Skuad Ngap Sayot akan meneruskan cabaran dalam kancah Liga Super dengan berkunjung ke Stadium Shah Alam, Selangor pada 21 Januari ini.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.