Skuad Sarawak uji penyerang Croatia

2

KUCHING: Skuad bola sepak Sarawak sedang dalam proses menguji penyerang baharu dari Croatia, Verdan Muratovic sebelum memuktamadkan keputusan menggugurkan penyerang import dari Cameroon, Kalle Sone yang gagal diturunkan sejak awal saingan kerana cedera.

Jurulatih Robert Alberts berkata, Verdan yang tiba di Kuching malam kelmarin telah memulakan sesi ujian pada pagi dan petang semalam.

“Kita masih mencuba dan melihat keserasiannya bersama pasukan… kalau bagus, kita akan ambil,” katanya yang dihubungi, semalam.

Ngap Sayot yang layak ke Liga Super musim ini dirundung dua kekalahan berturut-turut akibat ketumpulan jentera serangan yang sepatutnya diterajui oleh Kalle.

Mengambil kira prestasi skuad terutamanya di bahagian serangan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) difahamkan segera mendapatkan khidmat Verdan, 28, yang beraksi dalam Liga Perancis.

Verdan direkomenkan oleh Jules Onana, yang juga telah membawa Kalle dan seorang lagi pemain dari Cameroon, Guy Bwele yang bermain di posisi pertahanan.