Kebakaran di S’wak amat kritikal, kerugian dan kematian meningkat

0

KUCHING: Kebakaran yang berlaku di Sarawak pada tahun lalu amat kritikal kerana kerugian yang direkodkan agak besar selain peningkatan bilangan kematian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 1,478 kes kebakaran dicatatkan tahun lepas iaitu peningkatan 49 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 988 kes.

Menurutnya, kebakaran belukar merupakan penyumbang besar bilangan kebakaran yang dicatatkan sepanjang tahun 2009 hingga tahun lalu iaitu 1,492 kes (36.5 peratus) manakala kebakaran bangunan menduduki tempat kedua dengan 1,007 kes (24.6 peratus).

“Jumlah keseluruhan kerugian akibat kebakaran adalah sebanyak RM78 juta pada tahun 2009 berkurangan kepada RM67 juta (2010) dan meningkat pada tahun lalu dengan RM80 juta.

“Manakala harta yang diselamatkan berkurangan bermula 2009 hingga tahun lalu. Faktor bilangan kebakaran bertambah memainkan peranan dalam pertambahan jumlah kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Tahunan 2012 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak di sini, semalam.

Majlis tersebut menyaksikan tiga acara diadakan merangkumi penyampaian sijil perkhidmatan 30 tahun JBPM, Sijil Penghargaan YS Pengarah Operasi Mencari dan Menyelamat Mangsa di Gunung Tibai, Bau dan penyampaian sijil penghargaan serta sumbangan kepada waris Allahyarham Sulaiman Abdullah @ Herman Sihas.

Nor Hisham mendedahkan, elektrik merupakan penyumbang utama berlakunya kebakaran dengan 214 kes tahun lalu, 137 kes (2010) dan 132 kes (2009).

Selain itu, katanya, bilangan kematian akibat kebakaran turut meningkat pada tahun lalu dengan 11 kes berbanding lima kes (2010) dan enam kes (2009) manakala kecederaan turut mencatat pertambahan dengan 10 kes dilaporkan tahun lalu.

Dalam pada itu, Hisham berkata, pihaknya merancang untuk menyusun semula kekuatan di Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Mukah, Sarikei dan Bau.

“Kita akan kemukakan kepada ibu pejabat untuk menambah kekuatan di Limbang, Sarikei dan Mukah manakala di Bau akan dikurangkan,” jelas Norhisham.

Tambahnya, Pasukan Bomba Sukarela juga akan ditambah kepada 30 pasukan berbanding 24 pasukan yang ada sekarang.

“Setakat ini, penduduk Belaga sudah bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela di kawasan mereka,” ujarnya.