SPDP5 tiada hasrat tubuh parti baharu

1

LUBOK ANTU: Kumpulan SPDP5 tiada sebarang hasrat untuk menubuhkan sebuah parti baharu setelah keahlian mereka ditamatkan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Lima anggota kumpulan SPDP5 ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Sylvester Entrie Muran, ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian, Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan ADUN Bekenu Rosey Yunus.

“Kami berlima masih belum memikirkan perkara itu… namun kita tunggu dan lihat sajalah,” kata Entrie selaku Menteri Muda Kemudahan Awam kepada pemberita sejurus merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Lubok Antu bagi mewakili Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Wong Entugam, Jalan Batu Kaya di sini, semalam.

SPDP5, tambah beliau masih kekal sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memandangkan mereka telah dipilih oleh rakyat (menerusi tiket BN) pada pilihan raya negeri lalu.

Atas sebab itu, jelasnya, SPDP5 akan tetap meneruskan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan DUN atau Parlimen masing-masing walaupun tidak bersama SPDP.

“Soal sama ada kami berlima di dalam atau di luar parti itu (SDPD) adalah tidak penting. Paling penting, kami perlulah terus berkhidmat sebagai wakil rakyat untuk rakyat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Tiki Lafe akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, dengan tegas Entri menjawab, keputusan itu bergantung kepada budi baca Pengerusi BN Negeri iaitu Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Pusat.

Entri memberitahu Dr Tiki kerap turun padang menemui rakyat di kawasan Parlimennya selama ini walaupun kerja-kerja beliau tidak diketahui oleh ramai pihak.

“Mungkin disebabkan Dr Tiki kekurangan publisiti daripada pihak media ataupun cerita rekaan daripada ahli-ahli SPDP yang tidak senang terhadap beliau yang mengatakan dia (Dr Tiki) kurang turun padang,” katanya.

Justeru, Entri berkata, beliau yakin Dr Tiki adalah calon yang boleh menang di kerusi Parlimen Mas Gading sekiranya beliau diberi kepercayaan untuk bertanding semula di situ pada PRU13 nanti.

Sementara itu di Kuching, Nansian berkata lima bekas anggota SPDP itu masih lagi ahli Barisan Nasional (BN) dan ia tidak harus diragui.

Menurut bekas Naib Presiden Kanan SPDP itu, secara logiknya, mereka bertanding sebagai calon BN dan masih wakil rakyat BN.

“Kami bertanding sebagai calon BN dan kami bekerja di bawah kerajaan BN jadi kenapa pula kami tidak boleh menjadi ahli BN. Bagi saya ini adalah logiknya yang saya tahu.

“Jika kami tidak dipecat dari BN, maka kami masih ahli BN,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Kuching semalam bagi mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom baru-baru ini.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, ahli SPDP5 bukan lagi ahli BN selepas keahlian mereka bersama SPDP ditamatkan.

Nansian berkata, kumpulan itu masih lagi berkhidmat kepada rakyat sama seperti sebelum ini kecuali kali ini mereka menggunakan Kelab BN Negeri sebagai platform mereka.

“Apabila kami bersama SPDP, kami menggunakan parti sebagai jentera tetapi kini kami sudah dipecat dari SPDP, maka kami menggunakan Kelab BN Negeri sebagai jentera untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau menjelas lanjut, mereka bertindak meninggalkan parti kerana mereka tidak lagi mahu meneruskan perbalahan dengan Presiden parti.

“Kami meninggalkan parti kerana kami tidak mahu lagi berbalah. Kami seharusnya meluangkan lebih banyak masa untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan berbalah sesama sendiri.

“Bagi kami, kenapa anda perlu berbalah dengan ahli parti di kawasan yang mempunyai kekuatan tetapi melupakan tentang kerusi di mana anda lemah seperti Krian dan Ba’ Kelalan,” katanya.

Beliau berkata, daripada terus menyerang mereka, kepimpinan parti sepatutnya melakukan sesuatu di Krian dan Ba’ Kelalan yang mana parti telah tewas di dua kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri lepas.

Nansian berkata, secara logiknya parti perlu menumpukan kawasan di mana mereka mempunyai kelemahan dan bukannya mengurangkan kekuatan dengan mengenepikan mereka.

“Kami tidak mengatakan siapa salah atau siapa benar tetapi lihat secara logiknya, jadi esok (hari ini) kami mahu rakyat tahu apa yang kami tahu adalah berdasarkan logik dan prinsip,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata memandangkan mereka kini tidak lagi bersama SPDP, mereka tidak ada hak untuk menggunakan papan tanda parti di pusat khidmat masing-masing.

Maka itu, papan tanda lama akan digantikan dengan yang baharu dan pusat khidmat mereka yang terdiri dari Konstituensi Mas Gading, Tasik Biru, Marudi, Bekenu dan Batu Danau perlu dikenali sebagai Pusat Khidmat BN.

Papan tanda di Marudi telah digantikan sementara yang lain akan melakukan perkara yang sama bermula hari ini.