60% veteran tentera miskin

1

Mereka adalah veteran di S’wak tidak terima pencen selepas tamat perkhidmatan

KUCHING: Kira-kira 60 peratus daripada 13,550 orang bekas anggota tentera di Sarawak hidup di bawah paras garis kemiskinan, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Ten-tera Malaysia (ATM) Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid.

Mereka terdiri daripada veteran tentera yang tidak menerima pencen selepas menamatkan perkhidmatan, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kebajikan kepada anggota veteran oleh Panglima Tiga Briged Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah di sini semalam.

Monday berkata JHEV sedang menggiatkan usaha mencari dan mendaftar kesemua veteran tentera di negeri ini, namun setakat ini usaha berkenaan hanya berjaya mencatatkan 6,500 orang.

“Lebih separuh lagi yang belum mendaftar dengan kami dan kami akan menggunakan jaringan hubu-ngan dengan 18 cawangan Persatuan Bekas Perajurit di negeri ini untuk menyampaikan maklumat jabatan kepada veteran yang terlibat,” katanya.

Monday berkata JHEV Sarawak bercadang mengadakan lapan program kaunter bergerak sebagai satu lagi strategi melebarkan jangkauannya di negeri ini.

Menurutnya masalah logistik di kawasan luar bandar Sarawak telah dikenal pasti sebagai antara punca yang mengekang veteran tentera untuk mendaftar dengan JHEV.

“Ada juga segelintir bekas tentera yang kurang berminat untuk men-daftar atas alasan tidak memberikan apa-apa faedah kepada mereka, tetapi jumlah mereka ini sedikit sahaja,” katanya.

JHEV ATM yang ditubuhkan pada 2001 di bawah Kementerian Pertahanan menyediakan pelbagai per-khidmatan dan bantuan sosioekonomi kepada bekas anggota tentera.

“Selain skim bantuan sara hidup, pendidikan sekolah, pendidikan tinggi, perubatan dan bencana, jabatan juga menyediakan perkhidmatan bimbingan dan bantuan ke-    usahawanan untuk bekas tentera,” kata Monday.

Sementara itu, Perbadanan Hal-Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Sarawak dan Sabah akan memulakan pengambilan veteran tentera untuk menjalani latihan ke-usahawanan Program Pembangunan Sosioekonomi Veteran Tidak Berpencen mulai penghujung Februari depan.

Pengurus Wilayah Perhebat Sarawak/Sabah Mejar (B) Ibrahim Omar berkata, setakat ini jumlah penyertaan untuk pengambilan pertama ini belum ditetapkan kerana ia bergantung kepada bidang ke-usahawanan yang ingin diceburi bekas anggota tentera berkenaan.

“Latihan ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melahirkan 1,000 orang usahawan di kalangan veteran ATM yang tidak berpencen setiap tahun bermula tahun ini,” katanya. — Bernama