Anjung Singgah untuk tempatkan gelandangan diwujudkan tahun ini

0

KUCHING: Sarawak bakal memiliki Anjung Singgah untuk menempatkan golongan gelandangan produktif di negeri ini yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, Sarawak telah menerima peruntukan kewangan secara one off berjumlah RM3 juta untuk menubuhkan tempat tinggal sementara itu.

“Anjung Singgah ini nanti akan menempatkan golongan sasaran untuk sementara dan ia hasil pembentangan belanjawan pada tahun lepas oleh Perdana Menteri.

“Bagaimanapun bagi lokasi bangunan serta tempatnya kini masih dalam perbincangan dan ia perlu mengikut keperluan, kita juga akan bentangkan usul kepada kabinet terdahulu untuk mendapatkan kelulusan penempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Anjung Singgah dan Taklimat Dasar Warga Emas Negara (DWEN) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di sini, semalam.

Menurut Fatimah, penubuhan Anjung Singgah yang perlu dilaksanakan pada tahun ini juga, akan dilengkapi dengan kemudahan dan perkhidmatan kepada gelandangan.

“Anjung Singgah antara lain turut memainkan peranan mencari pekerjaan kepada golongan ini dan menawarkan penginapan, makanan dan minuman percuma,” kata Fatimah.

Antara kategori gelandangan yang layak menginap di Anjung Singgah berkenaan termasuk warganrgara Malaysia, berusia 18 tahun ke atas, tidak mampu menyewa rumah dan bilik, tidak mempunyai pekerjaan dan terlantar.

“Selain itu penagih dadah yang bersedia menjalani rawatan pemulihan, individu yang dihalau dan lain-lain kategori bersesuaian turut diterima,” tegasnya sambil menambah tempoh penginapan di Anjung Singgah berkenaan adalah dari lima hingga 14 hari.

Fatimah memberitahu, dalam senario di Sarawak kes golongan gelandangan atau tidak ada tempat tinggal agak kurang berbanding kes orang papa yang mengalami masalah mental.

Tambahnya di Sarawak kebanyakan kes orang papa yang mengalami masalah mental ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) kerana tidak ada tempat yang sesuai.

Pada tahun ini selain Sarawak antara dua lagi negeri yang bakal melaksanakan penubuhan Anjung Singgah tahun ini adalah Pulau Pinang dan Johor, selepas kejayaan penubuhan di Kuala Lumpur.