Lebih banyak pusat pemasaran kraf tangan di luar negara

0

KOTA BAHARU: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia akan membuka lebih banyak rangkaian pusat pemasaran kraf tangan di luar negara berikutan sambutan terhadap kraf tangan tempatan yang semakin meningkat, kata pengerusinya Datuk Sohaimi Shahadan.

Beliau berkata Kraftangan Malaysia sedang giat mengadakan program pembangunan dan penyelidikan bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti dan mampu menembusi pasaran dunia dengan lebih meluas.

Langkah itu perlu bagi membolehkan mutu kraf tangan, khasnya batik tempatan, mampu menyaingi produk kraf tangan pengusaha luar negara seperti dari Indonesia dan China, katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan penggiat kraf di Kampung Kebakat, Tumpat dekat sini, semalam.

Sohaimi berkata, usaha mengembangkan industri kraf tangan termasuk pembuatan batik tempatan adalah selaras dengan langkah kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mewujudkan konsep Satu Daerah Satu Produk.

Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah e-pemasaran secara agresif untuk memasarkan produk kraf tangan ke luar negara.

“e-pemasaran yang akan dilancarkan bulan depan, akan menjadi satu medium baharu dan kami akan melantik sebuah syarikat untuk mengumpul dan memasarkan produk kraf tangan melalui kaedah dalam talian itu,” katanya.

Beliau berkata, industri kraf tangan tempatan dijangka menyumbang RM1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, sepanjang tahun lepas industri kraf tangan menyumbang lebih RM200 juta kepada KDNK.

Sementara itu, Sohaimi yang juga pengerusi Kolej Poly-Tech MARA turut mengadakan mesyuarat dengan anggota lembaga pengarah kolej itu di kampus baharu di Waterfront City Lembah Sireh, di sini.

Sohaimi berkata, kolej itu sudah mengadakan perbincangan dengan sebuah pusat pengajian tinggi di Dublin, Ireland bagi meningkatkan mutu penganjian ke arah melahirkan graduan yang berimpak tinggi, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang dalam rundingan peringkat akhir dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk membina sebuah kampus bertaraf kolej universiti di tanah rancangan itu tidak lama lagi.

Pada masa ini, 10 kolej seumpamanya di seluruh negara dengan kira-kira 15,000 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah. — Bernama