Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Sarawak catat purata seorang mati disebabkan kemalangan setiap hari
Sarawak catat purata seorang mati disebabkan kemalangan setiap hari
Posted on January 27, 2012, Friday
KUCHING: Sarawak mencatat purata kematian seorang setiap hari disebabkan kemalangan jalan raya.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong memberitahu, sebanyak 65 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap manusia.
“Kita masih berada di tahap yang tinggi (statistik kemalangan jalan raya) berbanding negara maju lain.
“Statistik yang kita terima daripada pihak polis menyaksikan 65 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada manusia sendiri bukan kerana keadaan jalan raya atau kenderaan itu sendiri.
“Ini bermakna faktor ini berkemungkinan daripada kelalaian, tidak berdisiplin, kurang mengetahui kaedah perjalanan yang betul dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (RSE) dalam Program Khidmat Komuniti PLKN Peringkat Negeri di sini semalam.
Untuk memastikan kadar kemalangan yang berpunca daripada manusia itu berkurangan, Manyin berkata, modul RSE akan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah menjelang 2013 selain dilaksanakan di sekolah rendah dan pusat PLKN negeri.
“JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya) Sarawak sudah memperkenalkan program RSE ini kepada pelajar Tahun Satu hingga Enam dan di lapan kem PLKN negeri melibatkan 35,200 pelatih sejak dilaksanakan pada 2007 dengan kerjasama PUSPAKOM dan Shell.
“Maka, ia akan diperluaskan ke peringkat menengah mulai 2013 dalam usaha memfokus mengurangkan kadar kemalangan akibat sikap manusia,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Manyin turut mendedahkan purata kemalangan disebabkan kemalangan jalan raya di Semenanjung Malaysia lebih tinggi berbanding Sarawak iaitu 18 orang sehari melibatkan lebih 6,700 orang setahun.
“Dengan pelaksanaan RSE yang dikembangkan ke peringkat sekolah menengah, kita akan melahirkan para pengguna jalan raya yang lebih berhemah pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JKJR Sarawak Rano Alwino Akat menjelaskan bahawa prgoram RSE yang dilaksanakan di kem PLKN negeri melibatkan slot selama lapan jam.
Ia merangkumi pengetahuan mengenai kegunaan jalan raya, persekitaran jalan, kemahiran yang diperlukan pengguna ketika di jalan raya dan sikap kebertanggungjawapan pengguna.
“Oleh itu, pelaksanaan program RSE bersama PLKN di Sarawak dilaksanakan sebanyak 24 kali dalam setahun,” katanya.
Hadir sama pada sidang media itu semalam, Pengarah PLKN Zon Kuching Selatan Leftenan Kolonel Abdul Rahamen Wok.
<< Previous Entry - Next Entry >>



