Ayah tujuh anak terkilan BR1M ditolak

2

TERKILAN: Zainal menunjukkan sijil lahir tujuh anaknya yang masih dalam tanggungannya.

Hairan kad pengenalan anaknya dapat digunakan orang lain untuk memohon bantuan

MIRI: Seorang ayah tujuh anak terkilan setelah diberitahu oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini bahawa dia tidak layak menerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) atas alasan permohonan tanggungan telah wujud.

Walhal, menurut Zainal Tar, 45, dari Kampung Batu Satu, Kuala Baram di sini, tidak ada seorang pun dalam kalangan anak-anaknya pernah memohon BR1M melainkan dia seorang selaku ketua keluarga.

“Saya pernah memberitahu anak-anak termasuk anak sulung yang kini berusia 24 tahun agar tidak memohon BR1M memandangkan saya selaku ketua keluarga telah memohon bantuan tersebut,” katanya.

Tapi yang menghairankan, katanya, semasa menyemak semula permohonannya sebanyak dua kali setelah diberitahu tidak layak pada kali pertama memohon pada 10 Disember lalu, dia diberitahu bahawa anak sulungnya ada memohon bantuan sama.

Sedangkan, katanya, anaknya itu tidak pernah memohon bantuan tersebut dan masih bujang serta masih dalam tanggungannya.

“Dalam rekod LHDN, anak saya bernama Siti Hawa ada memohon BR1M dengan status berkahwin, sedangkan anak saya masih bujang dan masih dalam tanggungan saya,” jelasnya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Katanya, adalah tidak wajar kad pengenalan anaknya digunakan oleh orang lain untuk memohon bantuan tersebut sebagaimana yang diberitahu oleh pegawai di jabatan terbabit memandangkan kesemua kad pengenalan dan Sijil Lahir anak-anaknya ada dalam simpanannya di rumah.

Sehubungan itu, Zainal yang bergantung sepenuhnya dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan sebagai peniaga kecil-kecilan di Pasar Malam SABERKAS untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga, memohon pihak berkuasa meneliti semula permohonannya.

Katanya, pendapatan yang diperolehi sebagai peniaga di Pasar Malam yang hanya dibuka tiga kali seminggu adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga dengan anak seramai tujuh orang berusia antara dua dan 24 tahun serta ditambah isterinya yang merupakan suri rumah sepenuh masa dan kini sedang hamil enam bulan.

“Kalau dikira daripada jumlah pendapatan yang diperolehi hasil perniagaan kecil-kecilan dengan menjual kuih, keluarga kami boleh dikategorikan dalam golongan miskin bandar,” katanya yang bakal menimang cahaya mata kelapan tidak lama lagi.

Justeru, beliau merayu pihak berkuasa terbabit agar meneliti semula permohonannya bagi membolehkan dia menerima bantuan tersebut sebagai meringankan tanggungannya seperti penerima-penerima yang lain.