Pembantu penguat kuasa ditikam dalam operasi banteras mesin judi

1

MELAKA: Seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) cedera ditikam manakala empat rakannya cedera ringan selepas diserang kira-kira 30 lelaki ketika melakukan operasi membanteras aktiviti perjudian berkomputer tanpa lesen di Taman Sri Duyong, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, Azizan Abbas, 26, cedera di lengan dan ibu jari kanan selepas ditikam dengan pisau ‘Rambo’ oleh seorang anggotakumpulan berkenaan.

Akibat kecederaan itu, Azizan yang baru lapan bulan berkhidmat dengan MBMB, terpaksa menjalani satu pembedahan kecil di Hospital Melaka pagi semalam bagi menjahit luka sedalam kira-kira 10.5 sentimeter hingga 12.7 sentimeter.

Mangsa yang ditemui di hospital berkata, dia bersama empat lagi petugas MBMB melakukan tinjauan dan operasi membanteras kegiatan perjudian di sebuah premis baru, dipercayai mula beroperasi empat hari lepas.

Katanya, selepas melakukan siasatan, sebanyak 17 komputer disita, namun tindakan itu dipertikai kira-kira 30 lelaki yang berada dalam premis tersebut.

“Kami kemudian dikepung dan diserang… salah seorang daripada kumpulan itu cuba menikam saya, namun saya sempat menghalang tetapi pisau itu tertusuk tangansaya,” kata Azizan sambil menambah empat rakannya cedera ringan di badan dan muka setelah ditumbuk anggota kumpulan terbabit.

Katanya, anggota kumpulan itu, yang bersenjatakan rotan dan besi, kemudian memaksa mereka memindahkan semula komputer yang dirampas ke premis berkenaansebelum bertindak memecahkan cermin van MBMB.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB Zainal Abu berkata petugas terbabit tidak berpakaian seragam ketika kejadian, namun langkah tersebut perlu kerana merekasedang menyamar.

“Ini adalah kejadian pertama menimpa anggota MBMB, dan ia tidak bermoral serta menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata polis mengenal pasti individu terlibat dalam serangan itu dansemua suspek akan ditahan tidak lama lagi.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan alatan dan senjata berbahaya. — Bernama