Polis tahan 21 lelaki disyaki penagih dadah di pokok sena

0

POKOK SENA: Seramai 21 lelaki, dipercayai penagih dadah, ditahan dalam serbuan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Setar di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Pokok Pauh dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya turut merampas 18 motosikal yang kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk disiasat bagi memastikan sama ada motosikal itu milik mereka sendiri atau motosikal curi.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 50 tahun adalah rakyat tempatan yang terdiri daripada penduduk setempat dan kebanyakannya bekerja kampung.

“Ada yang bertindak agresif dengan cuba melawan anggota polis dan ada juga cuba melarikan diri tetapi polis bertindak cepat dengan menahan semuanya tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati mereka mengambil dadah jenis heroin,” katanya kepada pemberita di sini.

Serbuan yang bermula jam 6.30 pagi dan berakhir 2 petang semalam diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ASP Muhammad Safuan Abdul Rashid dengan dibantu tiga pegawai dan 14 anggota.

“Pihak polis percaya ladang kelapa sawit itu digunakan sebagai tempat melepaskan ketagihan kurang sebulan yang lalu dan kita menjalankan risikan dan intipan hasil maklumat orang awam sejak dua minggu lepas,” kata Adzaman.

Beliau berkata kira-kira separuh daripada penagih yang ditahan itu pernah ditahan antara sekali dan tiga kali atas kesalahan sama.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang ditemui, Din Jusuh, 65, berkata kawasan ladang kelapa sawit milik persendirian itu sering dijadikan tempat melepaskan gian kumpulan berkenaan.

“Kadang-kadang mereka pindah ke kawasan lain jika ada orang datang untuk mengambil kelapa sawit. Kini kami (penduduk kampung) rasa lega selepas polis datang buat serbuan dan bawa mereka ke balai,” katanya. — Bernama