Pencarian secara menyeluruh

0

SUDAH SIAP: Husaini (dua kanan) menyerahkan dokumen kepada Jamil sambil disaksikan oleh Mohid (tengah) dan Selihin (dua kiri).

Pusat Kecemerlangan Akuatik terajui usaha lahirkan perenang, penerjun berbakat

KUCHING: Pusat Kecemerlangan Akuatik yang kini sudah siap sepenuhnya bakal menyaksikan bermulanya ‘pencarian bakat’ melibatkan pelajar-pelajar sekolah dari kawasan pedalaman di seluruh negeri.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato Mohid Mohamed berkata usaha sedemikian adalah perlu memandangkan Sarawak sudah pun mempunyai sebuah pusat akuatik yang bertaraf antarabangsa.

“Kita akan membincangkan lebih lanjut mengenai perkara ini (pencarian bakat) bersama Jabatan Belia dan Sukan untuk mencari perenang-perenang yang bagus.

“Malah Institut Sukan Negara (ISN) juga perlu lebih agresif ketika melaksanakan program mencari bakat-bakat ini dengan melibatkan seluruh bahagian di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani dokumen penyerahan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Akuatik oleh kontraktor EPC Synergy Sdn Bhd kepada Kementerian Belia dan Sukan.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Saleh, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Mohd Selihin Kachon dan Pengarah EPC Synergy Sdn Bhd, Abang Husaini Abang Husin.

Menurut Mohid, kemudahan lengkap di Pusat Kecemerlangan Akuatik amat sesuai untuk menempatkan bakat-bakat yang dikesan bagi menjalani latihan berpusat.

“Ini amat mudah sekali kerana adanya kemudahan asrama dan jika perlu, anak-anak yang dari luar Kuching ini juga boleh mengikuti sesi pembelajaran di sini,” katanya.

Pusat Kecemerlangan Akuatik yang julung kalinya dibina di negeri ini adalah bertaraf Olimpik berdasarkan standard ukuran serta saiznya.

Sarawak telah melahirkan ramai atlet renang dan terjun bertaraf dunia seperti Tania Bugo, Daniel Bego, Pandalela Rinong dan Bryan Nickson Lomas antaranya.