Ia memudahkan tugas guru wanita yang merupakan penjaga kepada anak masing-masing, kata Fatimah
KUCHING: Terdapat keperluan untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di sekolah pada masa sekarang, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, saranan tersebut disebabkan guru terdiri daripada wanita yang merupakan penjaga kepada anak masing-masing.
Bagaimanapun menurutnya, memang tidak dinafikan terdapat masalah untuk mewujudkannya kerana kebanyakan sekolah terutama di kawasan bandar mempunyai sesi persekolahan dua sesi.
“Saya harap untuk sekolah yang hanya menjalankan satu sesi dan ada bilik kosong, wujudkanlah pusat ini.
“Untuk jangka masa panjang ia akan meningkatkan produktiviti guru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pendidik Permata Negara Siri 2 Tahun 2012 di sini, semalam.
Menurutnya, beliau berharap sekurang-kurangnya sebuah sekolah di negeri ini dapat mewujudkan pusat tersebut.
“Saya tahu bukan mudah untuk melaksanakannya namun kita bersedia untuk membantu dari segi pendaftaran dan penghantaran menghadiri kursus asuhan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pusat jagaan kanak-kanak di agensi kerajaan, Fatimah menjelaskan, sekurang-kurangnya tiga pusat akan diwujudkan tahun ini.
Setakat ini tiga pusat sudah diwujudkan iaitu di Yayasan Sarawak, Pustaka Negeri dan Sedidik.
“Ia sangat penting sebagai sistem sokongan dan usaha untuk memberi pendidikan berkualiti kepada anak-anak selain menjaga keselamatan mereka (anak-anak),” jelasnya.
Beliau menjelaskan, perancangan mewujudkan tiga pusat pada tahun ini merangkumi di Biro Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kalau boleh tahun ini kita hendak melihat sekurang-kurangnya tiga (pusat diwujudkan),” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah turut menyeru kepada syarikat-syarikat korporat agar melaksanakan pusat tersebut sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat.
“Amat penting untuk syarikat besar melaksanakan perkara ini agar dapat diikuti yang lain.
“Bagi syarikat kecil ini adalah untuk kebajikan pekerja,” ujarnya.