Miri kubu kuat pembangkang?

0

Dakwaan berikutan kemenangan DAP pada PRN lalu adalah tidak berasas

MIRI: Dakwaan Miri bakal menjadi kubu kuat parti pembangkang berikutan kemenangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu adalah tidak berasas.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin menyangkal Miri bakal menjadi bandar pembangkang sebaliknya kuasa sebenar yang menentukan keputusan pilihan raya terletak di tangan rakyat.

“Sesiapa pun calon yang mereka letak pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak tiada memberi makna kepada kita kerana kuasa memilih terletak di tangan rakyat,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan menyedia-kan bantuan kepada rakyat termasuk penduduk di bandar raya Miri.

“Jangan percaya dengan hasutan pembangkang kerana Miri masih lagi ditadbir kerajaan BN dan pada masa ini rakyat masih memerlukan sentuhan pembangunan daripada BN,” jelasnya.

Baru-baru ini, salah sebuah parti pembangkang melahirkan keyakinan tinggi untuk menawan dan menjadikan bandar raya Miri sebagai kubu kuat Pakatan Rakyat (PR).

Mengulas lanjut, Lee memberitahu bahawa calon yang diletakkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Miri pada PRU kelak mestilah berpotensi untuk menang dan mendapat kepercayaan serta sokongan rakyat.

“Individu terbabit mesti-lah dikenali oleh rakyat tempatan dan berpotensi untuk menang. Individu terbabit juga bukan hanya popular di kalangan parti sebaliknya dekat di hati rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, keyakinan pembangkang untuk menang pada PRU kelak akan pudar kerana BN masih selagi mendapat mandat dan kepercayaan daripada rakyat setempat.

Sehubungan itu, penduduk tempatan katanya, tidak perlu terpengaruh dengan ideologi pembangkang yang menyifatkan Miri akan menjadi kubu kuat mereka selepas PRU kelak.