Site Last Updated 12:49 pm, Saturday

Pejabat Residen Kuching akan kirim surat kepada penerima BR1M

Posted on February 1, 2012, Wednesday

KUCHING: Pejabat Residen Kuching akan mengirimkan surat berserta tempat dan masa kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang layak mendapat bantuan.

Residen Kuching Abdul Rahman Sebli Senusi berkata, ia merupakan pendekatan terbaru pihaknya untuk memperbaiki proses pemberian BR1M bagi mengelakkan kekecohan yang berlaku semasa pengagihan.

“Bagi proses pemberian akan datang (fasa ketiga) kami akan lengkapkan sekali iaitu alamat, tempat dan masa dalam sampul yang kita berikan kepada penerima yang layak.

“Kami cuba untuk memperbaiki sistem kami ke arah yang lebih baik sebab kami menerima terlalu ramai penerima dan pendekatan ini akan kami lakukan bagi memastikan penyampaian kami diberi sebelum tarikh akhir penerimaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan BR1M bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang di bawah Parlimen Stampin yang disempurnakan Ahli Parlimennya Datuk Yong Khoon Seng di ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, semalam.

Sementara itu Abdul Rahman berkata, sebelum ini iaitu fasa pertama dan kedua pengagihan BR1M, pihaknya memang tidak menyatakan lokasi penerimaan tetapi melalui hebahan akhbar.

“Kami memang berharap untuk menambah baik proses pemberian baucar ini memandangkan Kuching sahaja sehingga Isnin bilangan penerima adalah 78,000 orang.

“Ini tidak termasuk yang sedang dalam proses memohon kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan tarikh yang telah dilanjutkan sehingga 10 Februari ini,” tegas beliau.

Abdul Rahman dalam pada itu meminta pemohon supaya bersabar dengan menunggu maklumat daripada pihaknya melalui surat sebelum membuat tuntutan wang RM500 itu.

Beliau berkata ini terutama kepada mereka yang telah menyemak nama di LHDN dan dimaklumkan bahawa pemohonan mereka diluluskan dalam sistem tetapi belum mendapat surat dari pejabat residen.

“Bagi pemohon yang telah diluluskan nama dalam sistem LHDN tidak perlu datang dahulu untuk mendapatkan tuntutan jika mereka belum terima surat… tunggu surat daripada kami terlebih dahulu,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu memberitahu, bagi pemohon yang mengalami masalah termasuk mereka yang berada di luar Kuching tetapi nama terdapat dalam senarai pejabat residen, masih boleh mendapatkan baucar.

Katanya pejabat residen akan mengatur satu lagi program untuk penerima sedemikian untuk memastikan mereka mendapat baucar tersebut sebelum tarikh luput baucar.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.