Perladangan getah dipergiat

0

DIPERGIATKAN: Dompok (kanan) berbincang sesuatu dengan Jabu ketika melawat tapak semaian getah Bebangai di Betong, semalam. — Gambar Bernama

RM194.723j diperuntukkan bagi program tanaman semula, tanaman baharu getah

BETONG: Kerajaan pusat di bawah projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) memperuntukkan RM194.723 juta bagi program tanaman semula dan tanaman baharu getah di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata, peruntukan ini bagi membiayai tanaman semula getah seluas 40,000 hektar dan 18,000 hektar  untuk tanaman baharu di negara ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu Jabatan Pertanian Sarawak telah diperuntukkan RM53 juta bagi tanaman baharu getah seluas 10,00 hektar.

Sementara itu sebanyak RM112.723 juta disediakan untuk RISDA bagi program tanaman baharu dengan keluasan 3,000 hektar dan tanaman semula 24,000 hektar di Semenanjung Malaysia, 4,000 hektar (Sabah) dan 10,000 hektar (Sarawak).

“Peruntukan yang banyak ini disediakan buat  pembangunan sektor getah  mencerminkan daya usaha kerajaan supaya para pekebun kecil getah turut meraih faedah daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Tanam Semula dan Tanam Baharu Getah di Bawah NKEA dan Koperasi Pekebun Kecil Lada Bahagian Betong, Sarawak di Dewan Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan di sini, semalam.

Sementara itu kata Dompok, bagi permohonan tanaman baharu getah sebanyak 8,439 pemohon dengan keluasan 18,606 telah diterima Jabatan Pertanian Sarawak (JPS).

Manakala bagi tanaman semula pula sebanyak 2,799 pemohon dengan keluasan 5,591 hektar telah diterima oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA).

“Kerajaan sememangnya amat mengambil berat permohonan ini maka oleh yang demikian kerajaan telah meluluskan peruntukan yang secukupnya bagi memenuhi hasrat rakyat melaksanakan program ini pada 2012,” ujarnya.

Menurutnya, di bawah program ini bantuan bernilai RM13,500 sehektar diberikan kepada pekebun kecil di Sarawak.

Dompok berkata, keluasan tanaman lada hitam di Malaysia seluas 14,174 hektar dengan pengeluaran 24,227 hektar tan.

Sarawak merupakan negeri yang mengeluarkan hampir 99 peratus pengeluaran lada negara, ujarnya.

Sebahagian besar tanaman lada di Sarawak adalah diusahakan oleh pekebun kecil, jelas beliau.

Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Ban-dar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Pengerusi Lembaga Malayasia Datuk Alexander Nanta Linggi dan kakitangan-kakitangan kerajaan.