SMK Tabuan Jaya juarai sepak takraw

0

SENGIT: Aksi sengit pertarungan di antara SMK Tabuan Jaya A dan SMK Tabuan Jaya B semalam.

KUCHING: Pasukan tuan rumah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya A muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Bahagian Kuching.

Kehebatan SMK Tabuan Jaya A terbukti apabila membenam rakan sepasukan, SMK Tabuan B dalam aksi final kategori bawah 18 tahun di Dewan Sekolah Sukan Negeri (SMK Tabuan Jaya) di sini semalam.

Tempat ketiga bersama disandang oleh SMK Tabuan Jaya C dan SMK Sematan.

Dalam kategori bawah 15 tahun, SMK Tabuan Jaya A juga membuktikan keunggulannya apabila dinobatkan juara setelah menewaskan SMK Bandar Kuching No.2.

Tempat ketiga bersama dimenangi SMK Lundu dan SMK Matang Hilir.

Jurulatih pasukan sepak takraw SMK Tabuan Jaya, Bryan Ebe Noha gembira atas kejayaan anak-anak buahnya merangkul kejuaraan kedua-dua kategori terbabit.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian pasukan SMK Tabuan Jaya yang berjaya merangkul kedua-dua kategori kejohanan itu,” katanya ditemui selepas acara penutupan kejohanan semalam.

Pemenang kejohanan itu akan mewakili MSS Bahagian Kuching ke kejohanan peringkat negeri di Limbang bulan hadapan.

“Saya berharap semua pemain dapat mengekalkan pencapaian mereka dan beraksi dengan lebih baik pada kejohanan peringkat negeri di Limbang nanti,” katanya.