Home - Utusan Borneo - Sukan - Terdesak balas budi penyokong
Terdesak balas budi penyokong
Posted on February 5, 2012, Sunday
Torres azam kembali berbisa demi Chelsea

FERNANDO TORRES
LONDON, England: Fernando Torres terdesak mahu membalas budi para penyokong Chelsea kerana menunjukkan sokongan yang tidak berbelah-bahagi selama dirinya menempuh waktu paling teruk dalam kariernya, kata penyerang antarabangsa Sepanyol itu pada Jumaat lepas.
“Sejak saya menyertai Chelsea, penyokong begitu baik dengan saya,” kata Torres kepada saluran televisyen dalaman kelab itu menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United di laman sendiri malam ini (Ahad). “Ia sangat penting bagi saya untuk mendapatkan sokongan penyokong.
“Pada permulaan musim ini, saya menempuh waktu paling sukar dalam karier saya. Saya bermain dalam beberapa perlawanan tanpa dimasukkan ke dalam barisan kesebelasan utama dan saya pernah berada dalam situasi tersebut sebelum itu.
“Satu-satunya perkara yang memberikan harapan kepada saya adalah sokongan orang ramai,” tambah Torres yang mendapat peluang bermain lebih kerap dalam pasukan Chelsea sejak beberapa minggu lalu selepas Didier Drogba memikul tugas bersama Ivory Coast dalam kejohanan Piala Negara-negara Afrika.
Penyerang yang memenangi Piala Dunia pada 2010 itu dan menyertai Chelsea dari Liverpool dengan yuran rekod British sebanyak 50 juta pound (RM 241 juta) 12 bulan lalu, sudah menyaksikan 19 perlawanan tanpa sebarang gol untuk kelab dan negara.
Torres telah menjadi subjek kritikan media yang konsisten kerana gagal menjaringkan gol tetapi berkata beliau mengalami antara waktu terbaik dalam kariernya apabila para penyokong asyik melaungkan namanya ketika beliau duduk di bangku pemain simpanan sewaktu kemenangan 3-0 di tempat sendiri ke atas Wolverhampton Wanderers dalam liga pada 26 November lalu.
“Perlawanan menentang Wolverhampton itu menunjukkan sesuatu yang sangat penting untuk diperjuangkan, kasih sayang penyokong,” kata pemain berusia 27 tahun itu.
“Saya tidak pernah merasai perasaan sedemikian daripada penyokong sebelum ini dan saya tidak berada di atas padang pun.
“Kadang-kadang kita tidak perlu berusaha terlalu gigih untuk mendapatkan ganjaran kita tetapi dalam kes saya sekarang, saya sememangnya perlu berusaha lebih gigih lagi dari selama ini,” kata Torres.
“Saya tidak menerima ganjaran buat masa sekarang tetapi satu-satunya cara yang saya tahu adalah untuk terus berusaha dengan rendah hati dan saya akan terus berbuat demikian setiap hari.”
Kunjungan United yang menduduki tangga kedua memberikan Chelsea, yang berada di tempat keempat 12 mata di belakang United dan pendahulu Manchester City, peluang untuk membalas dendam di atas kekalahan 1-3 di Old Trafford pada September lalu.
Ia turut memberi peluang kepada Torres untuk menebus kegagalannya menjaringkan satu gol terbuka di United.
“Kami memperolehi peluang yang sangat jelas dalam perlawanan itu terutamanya satu peluang yang gagal saya sempurnakan dengan sebaik mungkin selepas saya berjaya menggelecek (penjaga gol United) David De Gea. Saya berharap perkara seperti ini hanya berlaku sekali dalam seumur hidup,” katanya sambil tersenyum. — Reuters

