Usaha iktiraf hak asasi LGTB ditolak

0

Juhar (lima dari kanan) bersama Musa (empat dari kiri) dalam perarakan bermula di Padang Merdeka dan berakhir di perkarangan Masjid Negeri.

KOTA KINABALU: Usaha mengiktiraf hak asasi lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini perlu ditolak sekeras-kerasnya memandangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam dan fitrah manusia kerana hubungan atau perkahwinan sejenis adalah perbuatan haram dan amat keji.

Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata larangan serta kedahsyatan budaya berkenaan diperingatkan oleh al-Quran melalui penghapusan kaum Nabi Lut selain ancaman wabak HIV dan AIDS.

“Meskipun semua pihak boleh mempertahankan keadilan dan hak bagi kelompok tertentu, namun kita perlu menghormati agama, nilai-nilai ketimuran masyarakat dan undang-undang di negara ini.

“Amalan demokrasi dan kebebasan bersuara tidak harus dimanipulasi untuk mengorbankan keharmonian hidup masyarakat.
“Sebaliknya, amalan demokrasi dan kebebasan bersuara harus dimanfaatkan oleh semua pihak untuk mengharmonikan lagi hubungan dan persefahaman antara kaum serta agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1433H/2012M di perkarangan Masjid Negeri di sini, pagi kelmarin.

Juhar turut menyeru semua pihak supaya tidak menyemarakkan sentimen agama dan perkauman demi mengekalkan keharmonian hidup rakyat majmuk.

“Keharmonian dan keamanan yang dikecapi perlu dipertahankan dan bukannya dirobek atau diperkotak-katik.

“Agenda dan misi lebih besar perlu digalas ialah memperkukuh persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan kualiti modal insan dari segi akidah, akhlak, syariah dan kemahiran.

“Ini membolehkan kita bergerak seiringan dengan tuntutan menjadi umat yang terbaik dan contoh ikutan dalam membangun negara yang aman, maju dan makmur,” katanya.

Turut berkenan berangkat ke majlis sambutan itu ialah Toh Puan Norlidah RM Jasni, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan isteri serta menteri-menteri kabinet.

Lebih 9,000 orang dengan 98 kontinjen daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, NGO, institut pengajian tinggi, sekolah menengah dan rendah serta kampung menyertai Majlis Perarakan Sambutan Maulidur Rasul tahun itu.