Jaringan keselamatan sosial bela nasib rakyat: PM

0

SELAMAT DATANG: Najib hadir majlis bertemu warga tua dan Orang Kurang Upaya (OKU) anjuran lapan Persatuan Cina di Dewan Persatuan Hokkien Klang, semalam. — Gambar Bernama

M’sia bukan negara kebajikan tetapi mahu melihat masyarakat berkongsi secara adil kekayaan negara
KLANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun Malaysia bukan negara kebajikan, kerajaan tetap menyedia dan melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial demi kebajikan rakyat, termasuk golongan kurang bernasib baik.

Menurutnya, melalui dasar jaringan keselamatan sosial dan memberi keutamaan kepada kebajikan, sebuah masyarakat yang lebih adil dan lebih seimbang daripada segi perkongsian kekayaan negara akan dapat diwujudkan.

“Kita mesti merasa empati kepada golongan seperti orang kurang upaya (OKU) dan kurang bernasib baik. Sebab itu kerajaan mengamalkan jaringan keselamatan sosial walaupun kita bukan negara kebajikan,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa banyak negara kebajikan di dunia akhirnya menghadapi masalah ekonomi yang amat serius.

Najib berkata demikian pada majlis sambutan Chap Goh Mei, iaitu hari ke-15 Tahun Baru Cina, yang dihadiri kira-kira 1,500 OKU, warga emas dan anak yatim berbilang bangsa, di sini semalam.

Najib berkata, jaringan keselamatan sosial itu, antara lain, disediakan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kita menjalankan program 1Karisma dengan peruntukan RM1.4 bilion setahun untuk menolong golongan kurang bernasib baik seperti OKU, ibu tunggal dan lain-lain,” katanya.

Najib juga berkata, kerajaan sudah melaksanakan inisiatif seperti bantuan awal persekolahan RM100 setiap murid serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menyaksikan, buat kali pertama dalam sejarah negara, kerajaan menyalurkan bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan kurang RM3,000.

“Hampir 80 peratus isi rumah di seluruh negara akan menerima bantuan melalui BR1M. Kita menyediakan peruntukan besar RM2.6 bilion untuk membantu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan menggalakkan badan dan syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalankan program tanggungjawab sosial korporat.

Menurutnya, ia boleh dijalankan sebagai program bersama kerajaan dan swasta.

Program semalam — inisiatif bersama kerajaan dan swasta — menyaksikan penyaluran bantuan RM10,000 kepada setiap 50 badan kebajikan dan amal di seluruh Selangor, dengan jumlah keseluruhan RM500,000.

Selain pihak swasta, orang perseorangan juga harus menghulur sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik, kata Najib.

Beliau berkata, lebih banyak peluang pekerjaan perlu disediakan untuk golongan OKU kerana mereka sebenarnya boleh berjaya dan hanya perlu diberi peluang untuk mencapai matlamat itu.

Najib turut merujuk kepada pelajar kurang upaya yang mendapat sembilan A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011, Muhammad Hadi Darus, yang merupakan antara penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 kelmarin.

“Inilah antara contoh OKU yang kita mesti banggakan…kita mesti bantu supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih bermakna lagi,” kata Najib.

Katanya, rakyat Malaysia perlu menjadi masyarakat yang saling menyayangi dan mampu memahami perasaan golongan kurang bernasib baik yang perlu dibantu supaya mereka dapat berdikari.

Beliau menarik perhatian bahawa semangat seperti itu termaktub dalam Gagasan 1Malaysia yang mengambil kira keperluan semua kaum dan golongan yang memerlukan.

Bantuan yang dihulurkan semalam menunjukkan bahawa golongan kurang bernasib baik merupakan sebahagian daripada masyarakat serta ramai pihak mengambil berat dan mahu menolong mereka, tambah Najib. — Bernama