Home - Utusan Borneo - Sukan - Sarawak mampu lahir jaguh muay thai

Sarawak mampu lahir jaguh muay thai

Posted on February 7, 2012, Tuesday

BERBAKAT: Fadillah (kiri) menunjukkan bakatnya dalam sukan muay thai di Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak bakal melahirkan jaguh-jaguh dalam sukan muay thai sedikit masa lagi apabila wujudnya sebuah pusat gimnasium sukan terbabit di negeri ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata dengan adanya pusat gimnasium sukan muay thai dan bina badan itu, maka ramai generasi muda pasti berminat menceburi sukan tempur terbabit.

“Saya percaya kita mampu melahirkan ramai jaguh muay thai dan bina badan yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang,” katanya berucap merasmikan Pusat Gimnasium SS Fighter Muay Thai, di sini semalam.

Fadillah berkata sukan muay thai sememangnya amat popular di negara Thailand, justeru beliau percaya jurulatih dari negara terbabit yang membimbing atlet-atlet negeri mampu menerapkan nilai-nilai murni sukan terbabit di kalangan generasi muda.

Beliau menarik perhatian sukan terbabit memerlukan tahap kesihatan yang terbaik selain ketahanan mental dan fizikal yang mantap di kalangan penggamalnya.

“Saya yakin generasi muda yang menceburi sukan terbabit akan memiliki ketahanan mental, fizikal dan emosi yang kuat untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Hadir sama Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Kuching Syed Dzed Wan Asnawi, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Ketua Menteri Ismawi Mohamad dan pemilik pusat terbabit, Sulaiman Salleh.

Fadiilah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata selain latihan untuk menyertai pelbagai kejohanan, pusat terbabit juga merupakan pusat riadah dan kesihatan kepada orang ramai.

Beliau menambah pusat gimnasium SS Fighter Muay Thai itu merupakan yang pertama di negeri ini dan beliau yakin gimnasium berkenaan akan menjadi pusat sukan yang terkemuka untuk generasi muda aktif dalam sukan terbabit di samping meningkatkan kesihatan.

Print Friendly

Comments are closed.