14,000 bekas tentera terkilan tidak terima insentif

0

KUCHING: Sejumlah 14,000 bekas anggota veteran tentera negeri ini yang pernah bertugas pada zaman 1960-an dan 1970-an terkilan kerana tidak menerima insentif.

Penasihat Koperasi Bekas Renjer Malaysia (Koprem) Kapten (B) Johari Ibrahim berkata, mereka benar-benar rasa terkilan kerana belum menerima insentif sejumlah RM3,000    daripada kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Deri Najib Tun Abdul Razak dalam Bajet 2011 lalu.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Johari berkata, mereka merupakan bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat mempertahankan maruah negara ketika zaman itu.

“Kami rasa amat terkilan kerana tidak menerima insentif sebagai penghargaan atas perjuangan kami pada zaman pemerintahan Jepun,” katanya.

Johari yang juga Setiausaha Agung Protem Persatuan Renjer Veteran Sarawak berkata, mereka bukannya mahu menentang kerajaan, namun ingin memohon jasa mereka juga diberi penghargaan.

Beliau menarik perhatian perkhidmatan mereka sebagai bekas tentera juga harus difahami dan bukan hanya memandang kepada satu pihak sahaja.

“Kami juga adalah anggota keselamatan yang juga pernah bertugas di perbatasan dan telah membantu mempertahankan maruah negara.

“Justeru, kerajaan harus membalas jasa dan pengorbanan kami secara saksama,” katanya.