Khidmat masyarakat 240 jam

2

KHIDMAT MASYARAKAT: Tertuduh (tengah) diapit ahli keluarganya di luar mahkamah ketika menanti sesi perbicaraan bermula, semalam.

Remaja buang bayi di stesen minyak hiba selepas majistret umum keputusan

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini semalam mengarahkan seorang remaja perempuan, 18, menjalani program khidmat masyarakat selama 240 jam selepas didapati bersalah membuang bayi perempuan miliknya yang baharu lahir di sebuah stesen minyak di Petra Jaya, baru-baru ini.

Remaja berkenaan mengaku salah di hadapan Majistret Pradeep Singh yang membuat keputusan itu selepas meneliti laporan dikemukakan oleh kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh yang tampak tenang sebelum hukuman dijatuhkan bagaimanapun gagal mengawal perasaan perasaan sedihnya sebaik majistret mengumumkan keputusannya.

Kesalahan yang dilakukan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa membuang bayi perempuan yang baharu lahir seberat 2.5kg ke dalam tong sampah di sebuah stesen minyak di Jalan Astana antara jam 3.30 petang dan 4.30 petang pada 20 Disember 2011.

Bayi berkenaan dijumpai oleh seorang kakitangan awam yang ketika itu sedang mengisi minyak keretanya dan ketika hendak ke tandas awam di stesen berkenaan, beliau menjumpai bayi dibuang di dalam sebuah tong sampah yang terdapat di situ.

Laporan polis terus dibuat berhubung insiden tersebut dan tertuduh diberkas polis dua hari kemudian di rumahnya di Kampung Gita.

Kes itu disebut buat pertama kalinya pada 4 Januari lalu di Mahkamah Majistret dan tertuduh mengaku bersalah.

Bagaimanapun, hukuman ke atasnya ditangguhkan sehingga semalam sementara menunggu laporan akhlak kerana dia dikategorikan sebagai pesalah juvana.

Menurut tertuduh, dia melahirkan bayi tersebut di tandas rumahnya sekitar tengah hari, hari sama selepas mengalami sakit perut.

Selepas melahirkan bayi berkenaan, tertuduh menghubungi rakan perempuannya yang kemudian membawanya keluar.

Dikatakan, rakan tertuduh yang menyedari kehadiran bayi di dalam sebuah beg, diarah berhenti di stesen minyak tempat tertuduh membuang bayi berkenaan.

Ketika ini, bayi berkenaan diletakkan di bawah jagaan JKM dan kes penjagaan bayi itu akan ditentukan dalam waktu terdekat ini.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala Inspektor Yunus Sahak selaku pendakwa raya.