Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Larry terima Anugerah Paul Harris
Larry terima Anugerah Paul Harris
Posted on February 8, 2012, Wednesday

UNTUK ALBUM: Micheal Woods bersama Larry (tengah) merakam kenangan bersama ahli Kelab Rotary serta sukarelawan dari Ba’ Kelalan selepas majlis penyerahan Projek Hidro Mini kepada penduduk Rumah Mejang di Rumah Mejang Sadam, malam kelmarin.
KAPIT: Penasihat Belia di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng Wei Shein menerima Anugerah Paul Harris daripada Kelab Rotary Antarabangsa atas sumbangan beliau kepada kelab tersebut.
Presiden Kelab Rotary Kuching Jaya, Micheal Woods berkata, Larry layak untuk menerima anugerah tersebut kerana telah memberikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada kelab tersebut untuk Projek Hidro Mini di Rumah Mejang, Sungai Menuan, di sini.
“Projek ini merupakan salah satu daripada program khidmat masyarakat anjuran Kelab Rotary dan menelan belanja sebanyak RM150,000. Sekiranya projek ini diberi kepada kontraktor, ia pasti menelan belanja berlipat kali ganda.
“Ini merupakan projek yang pertama di Kapit. Projek ini pertama kali dilaksanakan di Ba’ Kelalan. Oleh itu, penduduk bernasib baik kerana mendapat bantuan dan bimbingan daripada tenaga-tenaga kerja yang berpengalaman.
“Terima kasih kepada Roland Kaya, Sinau Sultan, Padan Sultan dan Kading Sultan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Mini Hidro kepada Tuai Rumah Mejang, di Rumah Mejang Sadam, Ulu Menuan, di sini malam kelmarin.
Hadir sama, Koordinator Projek Patrick Panai serta ahli jawatankuasa Kelab Rotary Kuching Jaya yang lain.
Projek Mini Hidro Rumah Mejang sumbangan Kelab Rotary Kuching Jaya ini dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Rotary (RC) Kuching, RC Johor Bahru, RC Kulai, RC Sentosa, Singapura, RC Timur Singapura, dan RC Bandar Seri Begawan, Brunei.
Dalam pada itu, Larry mewakili penduduk Rumah Mejang berterima kasih kepada Kelab Rotary Kuching Jaya atas pembangunan Projek Mini Hidro di situ.
“Projek ini memberikan banyak manfaat kepada penduduk di sini. Dengan adanya bekalan elektrik yang dibekalkan dapat mengurangkan penggunaan diesel dan seterusnya mengurangkan beban penduduk di sini,” katanya.
Beliau berharap agar projek itu dapat dikekalkan dan menjadi contoh kepada penduduk di rumah panjang yang lain.

