Home - Utusan Borneo - Sukan - ‘Si abang’ mahu balas dendam
‘Si abang’ mahu balas dendam
by Wan Ali Amit. Posted on February 8, 2012, Wednesday

BURU KEMENANGAN: Skuad Sarawak menjalani sesi latihan di Stadium Sarawak petang kelmarin. Sarawak akan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
Sarawak berazam tebus kekalahan skuad Piala Presiden kepada Perak malam ini
KUCHING: Kekalahan 0-2 skuad Piala Presiden Sarawak di tangan Perak kelmarin (Isnin) diharap akan dapat ditebus apabila pasukan senior bertandang ke Stadium Perak di Ipoh malam ini (Rabu).
Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts yakin anak-anak buahnya mampu memberikan prestasi terbaik apabila menentang Skuad Seladang biarpun di gelanggang lawan malam ini.
“Saya berharap semua pemain dapat memberi fokus sepenuhnya dalam perlawanan menentang Perak, meskipun sedar tugas kami amat mencabar,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Sarawak di Stadium Sarawak, petang Isnin lalu.
Menurut Alberts, beliau yakin semua pemain mampu beraksi cemerlang malam ini demi memburu kemenangan.
Walau bagaimanapun, jurulatih import dari Belanda itu tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya bagi memantapkan pelbagai posisi.
“Kita mungkin melakukan sedikit rombakan di beberapa posisi kerana terdapat dua atau tiga orang pemain utama mengalami kecederaan,” katanya.
Alberts memberitahu beliau mungkin merehatkan beberapa pemain seperti penjaga gol Saiful Amar Sudar, pemain pertahanan Yosri Derma Raju dan penyerang Mohd Rashid Aya.
Namun, beliau tetap mempunyai pilihan pemain-pemain yang mampu mengambil-alih tugas pemain-pemain terbabit. “Di samping itu, saya juga berharap penyerang import Vedran (Muratovic) dapat diturunkan bagi memantapkan lagi jentera serangan,” katanya.
Menurut Alberts, Muratovic dijangka akan menerajui jentera serangan bersama-sama Zamri Morshidi dan K Rajan malam ini jika Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) beliau sempat tiba bagi membolehkan penyerang import dari Croatia itu bermain di Ipoh malam ini.
Alberts percaya tempoh 10 hari telah dipergunakan sebaik-baiknya oleh semua pemain memperbaiki kelemahan dan kesilapan mereka selepas pertemuan dengan Negeri Sembilan di laman sendiri pada 28 Januari lalu.
“Saya cukup yakin dengan semangat dan komitmen tinggi semua pemain, kita mampu memberikan tentangan hebat kepada pasukan Perak (malam ini),” katanya.
Selepas menentang Perak malam ini, Sarawak akan meneruskan perjuangan mereka dengan menanti kunjungan Felda United di gelanggang sendiri pada Sabtu ini (11 Februari).
Alberts berkata jika skuadnya mampu melakukan kejutan ke atas Perak malam ini, sudah tentu pertemuan dengan Felda United di laman sendiri nanti lebih menarik.
“Saya percaya semua pemain akan memberikan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan yang diharungi,” katanya sambil berharap sokongan padu yang ditunjukkan oleh para penyokong setia Sarawak akan berterusan.

