Tuesday, November 24

Pelihara kemahiran modal insan: Awang Tengah

0

TERMETERAI: Awang Tengah menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara PPKS yang diwakili Baharudin (dua kiri) dan Universiti BS Abdur Rahman yang diwakili P.Kanniappan (dua kanan).Turut kelihatan Abdul Qadir (kanan) dan Hallman (kiri). — Gambar Jeffery Mostapa

Ia perlu jika ingin bersaing di peringkat global dan memacu ekonomi yang berinovasi

KUCHING: Negara perlu memelihara bakat kemahiran yang ada pada modal insannya jika ingin bersaing di peringkat global dan memacu ekonomi yang berinovasi.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hanya pembangunan modal insan sahaja mampu mengubah Malaysia dari-pada negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.

“Latihan kemahiran diberi penekanan utama di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi memastikan Malaysia membangunkan modal insan yang memenuhi industri serta meningkatkan produktiviti.

“Hala tuju ke arah negara ekonomi berpendapatan tinggi bergantung kepada tenaga  kerja yang dilahirkan sama ada berkualiti dan cekap yang se-suai dengan kehendak industri membuat pelaburan khasnya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Ke-mudahan Awam berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Ke-mahiran Sarawak (PPKS) dan Universiti BS Abdur Rahman, Chennai India di sini, semalam.

Sehubungan itu kata Awang Tengah, MoU yang ditandatangani itu tepat pada masanya untuk memenuhi transformasi oleh kerajaan Malaysia.

“Ia juga selaras dengan pembangunan ekonomi negeri iaitu Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE) dalam menyediakan tenaga kerja mahir bagi keperluan industri di kawasan SCORE,” tegasnya.

Beliau juga berkata, MoU berkenaan adalah satu usaha untuk mengantarabangsakan pendidikan di Sarawak.

“Kedua-dua pihak akan terus memainkan peranan penting seperti mempromosikan pertukaran pendidikan, akademik antara organisasi dan individu, promosi peluang belajar dan pendidikan serta bantuan pengajian.

“Dengan kreativiti tinggi, inovasi serta teknologi lanjutan, India akan menjadi sebuah negara ekonomi gergasi global seterusnya selepas China,” katanya.

Majlis MoU itu turut diha-diri Naib Canselor Universiti BS Abdur Rahman Dr P. Kanniappan dan Pro Canselornya Abdul Qadir Abdur Rahman Buhari, Pengarah Eksekutif PPKS Baharudin Abdullah dan Timbalan Pengarah Eksekutif PPKS Hallman Sabri.