Tidak perlu bawa ke mahkamah jika gagal dapat BR1M: Andrew

1

Pemberian BR1M bukti keikhlasan k’jaan bantu rakyat berpendapatan rendah

ANDREW SHILLING

SIBU: Pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berasa tidak berpuasa hati kerana gagal mendapatkan bantuan tersebut, tidak perlu membawa perkara terbabit ke mahkamah.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit berkata, pemberian BR1M menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam membantu rakyat terutama keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

“Selagi isi rumah terbabit layak menerima bantuan, mereka akan mendapat bantuan ini.

“Sebagai contoh di rumah panjang, satu pintu bilik ada yang didiami sehingga tiga keluarga dan kesemua mereka boleh memohon bantuan.

“Selagi ketiga-tiga keluarga ini memenuhi syarat, mereka layak dan akan menerima bantuan terbabit.

“Bantuan ini diberikan kepada semua yang layak tanpa mengira sama ada mereka menyokong kerajaan atau tidak.

“Oleh itu, tidak perlu bagi pemohon yang gagal untuk membawa perkara ini ke mahkamah,” ujarnya ketika diminta memberi pandangan berhubung kenyataan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Richard Wong Ho Leng.

Wong dalam kenyataan kelmarin menyeru pemohon yang gagal mendapat BR1M agar membawa kes mereka ke mahkamah untuk diselesaikan, memandangkan peluang bagi mereka berjaya memenangi kes adalah besar.

Menurut Andrew, jika pemohon membawa kes ke mahkamah, mereka mungkin terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi bagi membayar khidmat guaman, semata-mata ingin mendapatkan bantuan sebanyak RM500 tersebut.

“Bagi penduduk di rumah panjang, tidak perlu bagi mereka membawa perkara ini ke mahkamah. Pemohon masih mempunyai banyak masa untuk merayu,” ujarnya sambil menambah dengan membawa kes ke mahkamah, ia hanya akan menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Menyentuh mengenai dakwaan Wong mengatakan ramai pemohon yang terpaksa menuntut baucar BR1M di tempat lain dan bukannya mengikut tempat mengundi, Andrew tidak menafikan perkara tersebut sememangnya ada berlaku.

Malahan katanya, beliau sendiri telah menerima hampir 20 kes di mana pemohon dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan terpaksa menuntut baucar mereka di tempat lain seperti di Daro, Dalat, Balingian, Jemoreng, Selangau dan sebagainya.

“Ini mungkin disebabkan berlaku kesilapan ketika mengisi tempat mengundi iaitu pada ruangan bagi kerusi DUN dan Parlimen pada borang permohonan,” jelas Andrew sambil memberitahu akan merujuk perkara itu kepada Pejabat Residen dan Pejabat Daerah untuk diselesaikan.

Ditanya sama ada pembangkang akan menggunakan isu BR1M bagi membangkitkan sentimen rakyat pada Pilihan Raya Umum nanti, beliau memberitahu pembangkang tidak perlu berbuat demikian.

Sebaliknya jelas Andrew, pihak pembangkang harus menyokong bantuan yang diberikan kepada rakyat tersebut, yang memberi banyak manfaat kepada rakyat negara ini.