Monday, April 12

Kuching juara merentas desa Sarawak

0

KOTA SAMARAHAN: Bahagian Kuching merangkul gelaran juara keseluruhan dalam Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sarawak di sini semalam. Naib juara dan tempat ketiga pula masing-masing disandang oleh Samarahan dan Sarikei.

Seramai 32 atlet turut terpilih untuk mewakili negeri ini ke Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang bakal berlangsung pada 2-3 Mac di Kedah nanti.

Kejohanan peringkat negeri itu disertai pelajar-pelajar sekolah dari semua bahagian di negeri ini.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Abdillah Adam menyeru para pelajar agar sentiasa menerapkan daya saing yang positif dalam apa jua bidang yang diceburi termasuk sukan.

“Suka saya meningatkan agar para peserta membuktikan bakat masing-masing dengan semangat persaingan yang positif seiring dengan kecemerlangan dalam bidang akademik masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan di Stadium Tertutup di sini semalam.

Ini kerana menurut Abdillah, daya saing positif khususnya dalam sukan mampu menyumbang kepada pembentukan sahsiah yang positif, semangat berpasukan, ketahanan mental serta fizikal di kalangan pelajar.

“Justeru, jika seseorang ingin bergelar juara, maka dia perlu berfikir seperti seorang juara,” tegasnya lagi.

Pada majlis itu juga, beliau turut melancarkan Kalendar Sukan MSS 2012 yang memaparkan aktiviti-aktiviti sukan yang dianjurkan oleh MSS Sarawak sepanjang tahun ini.

Turut hadir Ketua Sektor Pembangunan Pengurusan, Ellen @ Manium Engang dan Pegawai Pelajaran Bahagian, Mahli Rosli.