Penempatan baharu Bengoh dimulakan tidak lama lagi

3

KUCHING: Projek pembinaan rumah di kawasan penempatan baharu Bengoh, yang akan mengikut model Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dimulakan tidak lama lagi.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil memberitahu, pihak kontraktor hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada kerajaan untuk memulakan projek pembinaan rumah tersebut.

“Tapak untuk kawasan penempatan baharu sudah pun dikenal pasti dan oleh itu, kerja membina sebanyak 204 buah rumah, mengikut model Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.

Difahamkan, kontraktor yang dimaksudkan untuk membina projek bernilai RM20 juta itu adalah Naim Engineering Sdn Bhd.

Lokasi penempatan semula yang telah dikenal pasti itu adalah berhampiran dengan Kampung Semadang, kira-kira 42 kilometer dari pusat bandar raya.

Dalam pada itu, Dr Jerip memberitahu isu penduduk enggan berpindah sebenarnya tidak pernah wujud.

“Bagaimana mereka mahu berpindah sebelum ini jika rumah tersebut belum siap?” katanya.

Projek pembinaan Empangan Bengoh yang bernilai RM315 juta dimulakan pada 2007 di kawasan seluas kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar raya.

Antara kampung yang terjejas berikutan projek itu adalah Kampung Taba Sait, Kampung Bojong, Pain, Rejoi dan Semban.