Siti kongsi keistimewaan Dermagic terbaru daripada SimplySiti

0

KOTA KINABALU: Membantu kulit wajah agar lebih cerah, awet muda dan tanpa stres, produk terbaru SimplySiti iaitu Dermagic membantu impian wajah sihat menjadi kenyataan.

SITI menunjukkan krim untuk produk Dermagic keluaran SimplySiti.

Pengasasnya, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, berkata Dermagic adalah produk yang dicipta khas untuk pengguna merasai kecantikan tanpa stres.

Menurutnya, apa yang istimewanya, ia memiliki tiga bahan utama yang istimewa iaitu ‘Plant Endorphin, Korea Plant Stem Cells, dan Advanced Hydro Collagen’.

“Apa yang kami tampilkan untuk produk ini adalah keajaibannya yang berkuasa membangkitkan ‘mood’ gembira.

“Ini kerana, bahan yang digunakan mempunyai kelebihan untuk  menyerlahkan diri yang lebih awet muda, cerah dan ceria,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis pra-pelancaran Produk Dermagic anjuran Wawa El-Diamond Glam Production di sini kelmarin.

Jelasnya, berbeza dengan produk-produk SimplySiti sebelum ini, Dermagic lebih mengkhususkan kepada rawatan kesihatan wajah.

Katanya, ia merangkumi beberapa produk termasuk krim mata, pelembap, ‘mask’, pencuci muka, dan serum.

Siti berkata, krim berkenaan adalah yang pertama seumpamanya dikeluarkan di negara ini yang mana ia menggunakan teknologi daripada negara Korea.

“Korea adalah antara negara pengeluar produk kosmetik yang terbaik di dunia, justeru SimplySiti memformulasi semula mengikut kesesuaian cuaca dan pengguna di negara ini.

“Ia boleh didapati pada harga RM10.90 hingga RM59.90 dan tahun ini kami merancang untuk mengeluarkan sebanyak 120 jenis produk dibawah SimplySiti,” jelasnya.

Tambahnya, pada bulan April depan beliau akan mengeluarkan produk minyak wangi Siti yang pertama.

Selain itu katanya, sejak berada di pasaran 31 Januari lepas, sambutan para pelanggan terhadap Dermagic sangat menggalakkan dan stok yang ada juga habis.

“Sekarang Siti sibuk menjalankan promosi untuk Dermagic dan pelancarannya akan dibuat pada 16 Februari ini.

“Selepas ini Siti akan ke Brunei dan seterusnya ke Pahang dan Johor untuk jelajah promosi Dermagic,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wawa El-Diamond, Nur Jawaheer Ismail @ Wawa yang juga pemenang Ratu Borneo ini berkata, sebagai penganjur pihaknya adalah penyokong kuat untuk pelancaran majlis itu.

Pihaknya sangat berterima kasih kepada pihak SimplySiti yang mengesan usaha Wawa El-Diamond dalam mempromosi produk kecantikan di negeri ini.

Beliau berkata, kerjasama itu juga sebagai motivasi untuk menjalin hubungan yang lebih erat khususnya dalam mempromosi produk SimplySiti pada masa akan datang.