DAM kecewa penyanyi Iban masih tidak dihormati, dipandang rendah

0

MIRI: Persatuan Dayak Miri (DAM) melahirkan kekecewaan dengan layanan penganjur acara dan konsert  di negeri ini terhadap penyanyi Iban yang disifatkan tidak menghormati penyanyi dan memandang rendah kebolehan mereka.

Presidennya Ellison Ludan yang juga penyanyi berkata, malah beliau terpaksa menolak beberapa undangan konsert kerana merasakan tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada penganjur acara atau konsert.

“Sebagai contoh penganjur pesta ria (fun fair) yang meletakkan gambar artis di atas kertas A4 kemudian ditampal di tiang-tiang lampu, dinding bahkan di tandas awam pun ada.

“Saya sendiri melihat gambar artis-arti Iban diperlakukan sedemikian, gambar-gambar berkenaan ditampal dan diletakkan di tempatan yang tidak sewajarnya.

“Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia seolah-olah tidak menghormati penyanyi itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ellison menasihati penyanyi Iban agar menghormati bakat mereka dengan mengenakan syarat lebih tegas terhadap penganjur konsert atau pesta ria agar tidak memperlakukan gambar mereka sesuka hati.

“Mereka harus bersikap tegas dan menyatakan pendirian bagaimana gambar atau poster digantung selain harga yang dikenakan untuk setiap persembahan,” katanya.

Menurut beliau, penganjur konsert atau pesta ria mampu meraih keuntungan yang banyak kerana menggunakan nama artis Iban selain hiburan, justeru mereka harus tahu hak artis untuk dihormati.