Site Last Updated 1:50 am, Wednesday

Pelumba Indonesia dominasi lumba basikal lebuh raya FAC

Posted on February 13, 2012, Monday

KAYUH RAMAI-RAMAI: Para pelumba sedang bersaing di Lebuh Raya FAC Matang semalam.

KUCHING: Pelumba dari Kalimantan Barat, Indonesia, Fito Bakdo Prilanji merangkul kejuaraan dalam acara utama 100 kilometer terbuka lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Lebuh Raya FAC Matang, dekat sini semalam.

Beliau yang mewakili pasukan VKool MS Motor menamatkan perlumbaan dengan meninggalkan pencabar-pencabar lain sejauh 100 meter.

Tempat kedua diduduki rakan sepasukan dan senegaranya, Agus Apriyanto manakala tempat ketiga milik pelumba dari Brunei, Mohd Rukhzaidin mewakili pasukan Geotrax Brunei.

“Saya gembira dan bangga kerana dapat berlumba di sini di samping menguji kekuatan saya bersama pelumba-pelumba lain dari sekitar Borneo,” katanya yang ditemui selepas tamat perlumbaan.

Perlumbaan yang berlangsung dari 11 hingga 12 Februari itu bukan sahaja disertai oleh pasukan-pasukan dari Sarawak dan Sabah tetapi juga negara jiran iaitu Indonesia dan Brunei.

Pada hari pertama perlumbaan, Laurel Lauridsen Adrian yang mewakili pasukan Corbussier dari Kuching memenangi ujian masa dengan catatan 30 minit 1 saat.

Bagi kategori 68 kilometer remaja (17 tahun ke bawah), Garry Tan dari pasukan OK Kona muncul juara manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing diduduki oleh pelumba ACC, Mohd Fitri Hassim dan Awang Adib Awang Sufian.

Selain kategori remaja dan terbuka, perlumbaan turut dibuka kepada lelaki berusia 40 tahun ke atas bagi jarak 68 kilometer.

Perlumbaan kategori veteran tersebut dimenangi Ahmad Joyo dari pasukan Joyo Pro-Bike diikuti Zainal Ariffin Hasbie dari pasukan Viking dan Supian Nor dari pasukan Corbussier di tempat ketiga.

Satu-satunya kategori wanita yang dipertandingkan ialah kategori terbuka dengan jarak 68 kilometer didominasi para pelumba Sukma Sarawak iaitu Nurazimah Abdul Rashid, Nur Azrenna Ahmad dan Carolline George.

Pelepasan peserta pada pukul 8 pagi semalam di Lebuh Raya Matang FAC dan perlumbaan tamat jam 12 tengah hari.

Pertandingan merupakan anjuran Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA).

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.