MALABO, Equatorial Guinea: Cheick Diabate menjaringkan gol dalam setiap babak ketika Mali menang 2-0 ke atas Ghana yang bermain dengan 10 orang dalam perlawanan ‘play-off’ Sabtu lepas untuk menduduki tempat ketiga Piala Negara-Negara Afrika 2012.
Penyerang kelab Bordeaux itu menolak masuk bola yang melantun pada pertengahan babak pertama dan menjaringkan bola hantaran lintang ketika perlawanan berbaki 10 minit selepas pemain pertahanan Ghana, Isaac Vorsah dilayangkan kad merah kerana menerima kad kuning kedua.
Diabate sekarang menduduki tempat teratas dalam carta penjaring dengan tiga gol bersama-sama dengan enam pemain lagi, termasuk Chris Katongo dan Emmanuel Mayuka dari Zambia dan Didier Drogba dari Ivory Coast, yang dapat menambah jaringan mereka pada perlawanan akhir di Libreville keesokannya (Ahad).
Pasukan ‘The Eagles’ (Mali) bertuah dalam cubaan keempat selepas mereka tewas dalam tiga perlawanan merebut tempat ketiga pada masa lalu dalam kejohanan utama bola sepak Afrika itu manakala pasukan ‘Black Stars’ (Ghana) mengalami kekalahan kedua dalam tiga penampilan ‘play-off’.
Penyerang Asamoah Gyan, yang gagal menyempurnakan tendangan penalti dalam kekalahan kepada Zambia pada peringkat separuh akhir, menjadi pemain utama yang tidak diturunkan apabila Ghana melakukan empat perubahan ekoran penggantungan pemain pertahanan John Boye dan pemain tengah Derek Boateng. — AFP