Mekanik maut terperosok di bawah kenderaannya yang dilanggar lori

0

MAUT: Anggota polis mengangkat mayat mangsa.

BEKENU: Seorang mekanik maut setelah terperosok di bawah kenderaan pacuan empat roda miliknya yang diletakkan di bahu jalan dipercayai dilanggar oleh sebuah lori yang datang dari arah belakang dalam kemalangan yang berlaku di KM67 Jalan Miri-Bintulu di sini pagi semalam.

Mangsa, Cheng Loong Lee, 42, dari Bandar Baru Permyjaya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Menurut sumber, dalam kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 10.30 pagi itu, mangsa yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda milik syarikat tempat dia bekerja telah pergi seorang diri ke lokasi kejadian untuk memeriksa sebuah lori traktor, juga milik syarikat yang dilaporkan mengalami kerosakan.

Setibanya di lokasi, mangsa telah meletakkan kenderaannya di tepi jalan iaitu di belakang lori traktor berkenaan sebelum dia turun untuk memeriksa bahagian lori berkenaan bagi memastikan bahagian mana yang rosak dan hendak dibaiki.

Semasa sedang membuat pemeriksaan, kenderaan mangsa dipercayai telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori lain yang datang dari arah Miri menuju ke Bintulu hingga melanggar mangsa yang ketika itu dipercayai berada di belakang lori traktor berkenaan.

Akibat perlanggaran itu, mangsa terperosok dan tersepit di bawah kenderaannya sendiri.

Sepasukan polis trafik diketuai Pegawai Penyiasat Inspek-tor Muralle Vennu bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu.