Perbaiki diri sebelum menjadi pemimpin

0

TAMAT PROGRAM: Dr Abdul Rahman menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta yang menamatkan Perkampungan Generasi Insan Solehah 2012.

Remaja Islam sepatutnya mampu memimpin diri sendiri sebelum jadi seorang pemimpin

TELAGA AIR: Remaja Islam sepatutnya mampu memimpin diri sendiri sebelum mereka menyimpan hasrat menjadi seorang pemimpin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sifat mulia Rasulullah SAW hendaklah diteladani biarpun tidak sepenuhnya.

“Sebelum kita menjadi pemimpin kepada orang lain, seseorang individu hendaklah mampu memimpin diri sendiri terlebih dahulu.

“Justeru, tidak salah jika mereka mengambil contoh sifat mulia Rasulullah memimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penangguhan Perkampungan Generasi Insan Solehah 2012 di Pusat Latihan Sarawak di sini, kelmarin.

Menurutnya, golongan muda juga perlu menanam usaha agar mampu mencapai kecemerlangan sekali gus kegemilangan pada masa akan datang.

“Ambil peluang yang ada. Kita hidup dalam negeri yang aman, bahagia dan baik,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman menjelaskan, dengan adanya kerajaan yang baik dan banyak memberi bantuan dalam bidang pelajaran, tidak ada alasan untuk rakyat gagal.

“Kita tidak ada alasan untuk tidak belajar.

“Apa yang kerajaan lakukan (beri bantuan) adalah untuk melahirkan generasi muda berjaya dan menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang,” ujarnya.

Seramai 67 peserta di kalangan pelajar menengah atas sekolah sekitar bandar raya Kuching menyertai program itu yang bermula 10 Februari dan berakhir 12 Februari lepas.