S’wak berpotensi penyumbang utama eksport perabot: Uggah

0

PRODUK BERKUALITI: Uggah melihat kepingan kayu yang digunakan untuk membuat kerusi ketika melawat pameran pada Seminar Pembangunan Industri Perabot Sarawak, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Pengarah Institut Rekaan dan Inovasi UNIMAS Prof Madya Dr Khairul Adlin Abdul Rahman, Songan, Nancy, Abdul Latif dan Sarudu.

Produk ditambah nilai, identiti etnik tempatan mampu tarik pasaran antarabangsa

KUCHING: Sarawak berpotensi menjadi penyumbang utama kepada jumlah eks-port perabot negara dengan menghasilkan produk yang ditambah nilai dengan identiti etnik tempatan bagi menarik pasaran antarabangsa.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata, identiti etnik yang pelbagai di negeri ini boleh diketengah dalam reka bentuk perabot sebagai nilai tambah agar lebih kompetitif dan berdaya saing dengan produk luar.

“Untuk lebih kompetitif dan berdaya saing dengan produk luar, reka bentuk perabot yang menonjolkan ciri-ciri tempatan serta mencerminkan keunikan nilai-nilai dan motif-motif seni etnik atau tradisional harus diketengahkan sebagai strategi pemasaran.

“Dengan adanya kelainan reka bentuk yang ditonjolkan ini, pasaran antarabangsa akan lebih tertarik dengan kualiti dan keterampilan produk perabot kita dan dengan ini, saya pasti ia akan mencapai harga lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Industri Perabot Sarawak, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) Nancy Shukri, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Abdul Latif Mohmod, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Datu Sarudu Hoklai dan Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Datu Dr Hatta Solhi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS Prof Dr Peter Songan.

Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata, negeri ini amat berpotensi dalam pengeluaran dan pengeksportan perabot berasaskan kayu memandangkan Sarawak kaya dengan sumber perhutanan.

Bagaimanapun mengikut statistik pada 2010, Sarawak katanya, menyumbang ku-rang daripada tiga peratus walaupun Malaysia merupakan negara pengeksport pera-bot ke-10 terbesar di dunia dan jumlah itu masih kecil berbanding Semenanjung Malaysia sebanyak 74 peratus dan Sabah, 13 peratus.

Beliau turut percaya peng-gemblengan kepakaran antara agensi dalam melaksanakan penyelidikan bersepadu mampu menuju ke arah penghasilan produk bernilai tambah tinggi dan memenuhi standard piawaian antarabangsa.

Selain itu katanya, penu-buhan Kompleks Industri Perabot PUSAKA di Kota Samarahan dapat memacu industri perabot di Sarawak, yang akan memberi fokus terhadap penghasilan produk berkualiti tinggi dengan nilai harga jualan rendah.

Memandangkan keperluan pasaran dunia kini terarah kepada penghasilan ‘produk hijau’, katanya pengwujudan industri pembuatan perabot secara lestari dan mesra alam merupakan hala tuju yang harus dititikberatkan oleh industri tersebut.

Beliau turut menyeru supaya penggunaan bahan mentah alternatif seperti acacia mangium digunakan secara optimum bagi menampung kekurangan sumber hutan.

“Kayu acacia berpotensi untuk dihasilkan sebagai produk perabot taman yang boleh mencapai nilai eksport tinggi,” katanya.

Sementara itu, Sarudu memberitahu bahawa PUSAKA akan terus mempergiatkan sokongan dan merangka pelan penambahbaikan yang berterusan dengan jalinan kerjasama strategik dengan agensi negeri dan pusat agar pembangunan industri pera-bot dapat dilaksanakan dan mencapai matlamat yang disasarkan.

“Pendekatan bersepadu dan kerjasama strategik an-tara PUSAKA, FRIM dan UNIMAS membolehkan penggunaan potensi sumber dapat dimaksimumkan.

“Maka, kerjasama tersebut diharap akan dapat menggalakkan pembangunan industri perabot di mana setiap agensi mempunyai kekuatan dan fungsi serta sumber ma-sing-masing, khususnya dalam industri pembuatan perabot,” katanya.