Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Jangan pasang terlalu banyak soket

Jangan pasang terlalu banyak soket

by WILLIE JUDE JUNAIDI wjudeub@gmail.com. Posted on February 17, 2012, Friday

KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya pemilik rumah dinasihat agar tidak menggunakan terlalu banyak soket sambungan elektrik kerana ianya mungkin mengundang kepada berlakunya kebakaran.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat, Datuk Jainab Ahmad berkata kebanyakan kebakaran rumah yang berlaku pada masa kini adalah disebabkan oleh kegagalan fungsi bekalan elektrik yang baik.

“Kalau boleh elakkan mengguna soket yang terlalu banyak dan jika perlu lantiklah individu-individu yang bertauliah menjalankan kerja-kerja pemasangan elektrik di rumah.

“Jangan hanya kerana ingin berjimat dengan menggaji orang tidak bertauliah, nyawa keluarga anda tergadai,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Gudon, Menggatal Rabu lepas.

Dalam kejadian pada malam Selasa lepas kira-kira jam 10.30 malam itu, dua beradik berumur tujuh dan dua tahun rentung selepas terperangkap di tingkat atas rumah terbabit.

Jainab berkata, kejadian yang telah berlaku itu harus dijadikan sebagai iktibar oleh penduduk kampung yang lain agar perkara sedih sedemikian tidak berulang di masa akan datang.

“Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka akan lebih banyak bersabar menghadapi dugaan hidup ini,” katanya sambil menambah bahawa satu unit jawatankuasa yang terdiri beberapa agensi perlu untuk membantu mangsa mendirikan semula rumahnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Nordin Pauzi berkata, siasatan awal mendapati kebakaran merebak dengan cepat disebabkan oleh bahan binaan rumah yang diperbuat daripada kayu.

Selain itu, tambahnya kebakaran itu juga didorong akibat masalah kegagalan fungsi pendawaian elektrik.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat perkara ini bagi mengetahui punca sebenar kebakaran berlaku,” katanya.

Print Friendly

Comments are closed.