Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Lelaki bersama empat GRO ditahan miliki ganja

Lelaki bersama empat GRO ditahan miliki ganja

by WILLIE JUDE JUNAIDI wjudeub@gmail.com. Posted on February 18, 2012, Saturday

KOTA KINABALU: Empat individu termasuk sepasang kekasih bakal berdepan hukuman gantung sampai mati apabila sepasukan polis yang menyerbu rumah mereka di Jalan Tuaran di sini baru-baru ini menemui sejumlah dadah jenis ganja.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya, Superintendan M Chandra berkata kesemua suspek iaitu seorang lelaki berumur 39 tahun dan kekasihnya berumur 21 tahun serta tiga lagi wanita berumur 18 hingga 26 tahun ditahan pada Ahad lepas kira-kira jam 5 pagi.

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit, polis berjaya menemui beberapa bungkusan dadah jenis ganja dengan anggaran jumlah berat keseluruhan 661.31 gram bernilai RM3,500,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, Karamunsing di sini kelmarin.

Menurutnya, lelaki yang ditahan merupakan warga tempatan manakala tiga wanita termasuk kekasih lelaki terbabit merupakan warga asing dari Filipina yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di salah sebuah pusat hiburan.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Chandra berkata seramai 83 individu ditahan polis kerana terlibat dadah dalam Ops Tapis yang dijalankan di kawasan Kampung Air di sini sejak ia dimulakan pada 25 Januari lepas sehingga kelmarin.

“Daripada jumlah itu, seramai 78 orang yang terdiri daripada 66 lelaki dan 12 wanita ditahan kerana disyaki penagih dadah manakala lima lelaki lagi ditahan kerana memiliki dadah,” katanya sambil menambah seramai 288 individu telah diperiksa sepanjang tempoh berkenaan.

Print Friendly

Comments are closed.