Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Lelaki pecah kereta pelancong dicekup

Lelaki pecah kereta pelancong dicekup

by WILLIE JUDE JUNAIDI wjudeub@gmail.com. Posted on February 18, 2012, Saturday

CHANDRA (tengah) bersama pegawainya memeriksa sejumlah barangan yang berjaya dirampas dari suspek.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dicekup selepas dipercayai terlibat dengan beberapa kes jenayah termasuk satu kes pecah kereta yang melibatkan seorang pelancong dari negara Denmark di sini.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya, Superintendan M Chandra berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Peringatan, Petagas Isnin lepas dan dalam tangkapan itu, polis turut merampas sejumlah barangan seperti dua telefon bimbit, satu resit pajak gadai serta beberapa kad bank.

“Selepas suspek ditahan dan disiasat, sepasukan polis pada hari yang sama kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah yang juga dipercayai didiami suspek di Kampung Likas.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dua buah komputer riba yang dipercayai milik seorang pelancong dari Denmark yang dicuri suspek awal bulan ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Karamunsing di sini kelmarin.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 3 Februari lepas kira-kira jam 9.30 malam di mana warga Denmark terbabit kerugian kira-kira 5,000 selepas dua komputer riba, sepasang kasut dan pasport yang disimpan di dalam sebuah kereta disewanya dicuri suspek.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan telah meletakkan kenderaan yang disewanya itu di hadapan sebuah hotel untuk pergi makan malam di Waterfront.

“Bagaimanapun, ketika kembali semula ke kereta, mangsa mendapati tingkap kenderaan itu telah dipecahkan dan beberapa barang miliknya telah hilang,” katanya sambil menambah mangsa kemudian membuat laporan polis pada malam yang sama.

Chandra berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam satu lagi kes, seorang lelaki warga asing berumur 24 tahun dicekup kerana didapati menjual VCD dan DVD cetak rompak.

Tangkapan dibuat minggu lepas kira-kira jam 5 pagi di kawasan Pasar Kraftangan, Sinsuran dekat sini.

“Polis turut merampas 745 keping VCD dan DVD pelbagai tajuk tanpa sijil B yang sah daripada suspek,” katanya sambil menambah suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 18 (4) (a) Akta Penapisan Filem 2002.

Print Friendly

Comments are closed.