Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Tiga rakan dibicara semula tuduhan merompak berkumpulan

Tiga rakan dibicara semula tuduhan merompak berkumpulan

Posted on February 18, 2012, Saturday

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin mengarahkan tiga lelaki dibicarakan semula atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan, tahun lalu.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum membuat keputusan itu terhadap Romanus Rafi, 18, Mohd Shukri Sulaiman, 21, dan Alexander Anton Sangah, 19, yang merayu terhadap sabit salah dan hukuman.

Beliau mengarahkan tiga sahabat itu dibicarakan semula selepas mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah.

Ketiga-tiga perayu didakwa melakukan kesalahan itu dengan bersenjatakan sebilah pisau terhadap Sahfie Nawi, 57, pada 2 November 2011 jam 8.30 pagi di sebuah rumah di Kg Lumantad, Membakut.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 397 Kanun sama. Hukuman yang diperuntukkan ialah penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Mohd Shukri memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka tidak melakukan kesalahan berkenaan, tapi dipaksa oleh polis yang bertugas di Beaufort untuk mengaku bersalah.

Dia juga mendakwa mereka telah dipukul oleh anggota polis selepas ditangkap serta diminta menyerahkan barang bukti kepada pihak polis.

Bagaimanapun, dia berkata mereka tidak memilikinya dan dia terpaksa meminjam rantai emas daripada kakaknya dan sebuah telefon bimbit ayahnya untuk diberikan sebagai bukti.

Selain itu, dia juga mendakwa ketika ditangkap, salah seorang rakannya turut dipukul oleh polis dengan menggunakan sebatang penyapu sehingga patah.

Pada tahun lalu, Romanus, Mohd Shukri dan Alexander dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dikenakan satu sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen, selepas mengaku bersalah atas kesalahan itu.

Namun, mahkamah rendah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memberitahu mahkamah berdasarkan rekod, pengadu dalam kes ini tidak mengenal pasti cincin dan rantai yang didakwa sebagai barang bukti.

Mohd Sukri diwakili peguam Mohd Nor Yusoff dibebaskan dengan ikat jamin, manakala Romanus dan Alexander yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan reman mengikut Seskyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

 

Print Friendly

Comments are closed.