Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Tujuh rumah pekebun hangus
Tujuh rumah pekebun hangus
by WILLIE JUDE JUNAIDI wjudeub@gmail.com. Posted on February 18, 2012, Saturday
KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya tujuh keluarga pekebun di Kampung Kitobu, Inanam dekat sini hilang tempat tinggal apabila rumah mereka hangus terbakar dalam kejadian malam Khamis lepas.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sebanyak tujuh buah rumah yang didiami seramai 21 orang musnah sama sekali selepas api dikatakan merebak cepat dari satu rumah ke rumah yang lain.
Bagaimanapun, tiada mangsa terkorban atau cedera dilaporkan dalam kejadian yang menggemparkan penduduk di kampung berkenaan.
Menurut salah seorang daripada mangsa yang hanya dikenali sebagai Ignasius, 48, sebelum kejadian dia sedang berehat di rumahnya sambil menonton televisyen.
“Bagaimanapun kira-kira jam 9 malam saya terdengar orang menjerit mengatakan ada kebakaran berlaku, lalu saya terus pergi meninjau apa yang berlaku.
“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat salah sebuah rumah yang terletak di kawasan paling hujung sedang terbakar, lalu saya dan rakan-rakan lain mengangkat air daripada sungai berhampiran untuk memadamkan kebakaran namun gagal.
“Api kemudiannya semakin besar dan merebak ke rumah-rumah lain termasuk rumah saya, kesemua kami tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah pasukan bomba datang untuk mengawal,” katanya sambil menambah dia tidak mampu menyelamatkan sebarang harta benda.
Difahamkan, majoriti penghuni di kawasan perumahan berkenaan merupakan pendatang asing dan bekerja sebagai pekebun getah.
Sementara itu, Penolong Penguasa Kanan Bomba Sabah, Mohd. Zahar Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.05 malam.
“Sepasukan bomba bersama tiga buah jentera kemudiannya tiba di tempat kejadian pada jam 9.14 malam dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.30 malam.
“Keadaan cuaca pada malam ini (kelmarin) juga sedikit sebanyak membantu bomba dalam mengawal kebakaran kerana jika keadaan angin yang kencang sudah pasti kami mendapat sedikit kesukaran untuk mengawal api daripada merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambahnya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian kini masih lagi dalam siasatan.


