Debat trend politik positif

0

BN tidak gentar berdebat dengan pembangkang: Daud

DAUD

KUCHING: Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk berdebat dengan pembangkang tetapi perlu dijalankan mengikut garis panduan supaya lebih teratur dan lancar.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ini terbukti apabila BN menerusi Ketua Pemudanya Khary Jamaluddin berdebat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di London.

“Ini trend politik yang positif dan menunjukkan kita (BN) tidak takut kerana berlandaskan perkara yang benar.

“Kalau mereka hendak berdebat biar kita cakap tentang fakta kita dan mereka cakap tentang fakta mereka.

“Seterusnya biar rakyat yang menentukan siapa bercakap benar dan siapa bercakap bohong,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perdebatan antara Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang disiarkan secara langsung oleh televisyen berbayar Astro.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) menjelaskan, BN mempunyai sikap terbuka dan bersedia untuk berdebat dengan pembangkang pada bila-bila masa.

“Selalu mereka (pembangkang) cakap kita tidak berani berdebat namun hakikatnya kita tidak takut dengan mereka,” ujarnya.

Mengulas mengenai hasrat Pengerusi PKR Negeri Baru Bian untuk berdebat dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, beliau berkata, persetujuan sudah dicapai untuk menghantar Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berdebat dengannya.

“Tak kan taraf Ketua Menteri hendak berdebat dengan beliau (Baru).

“Tidak sesuai Ketua Menteri berdebat dengannya terutama dari segi kedudukan,” jelasnya.